Isnin, 31 Ogos 2009

RUMAH

Keselamatan diri, keluarga dan harta benda menjadi keutamaan kepada setiap individu apabila mendiami sesebuah rumah. Rumah sepatutnya ibarat sebuah syurga iaitu tempat paling selamat untuk berehat. Rumah yang dilengkapi persediaan keselamatan menjadikan individu berasa yakin dan selesa untuk mendiaminya.

 

            Cuba perhatikan langkah-langkah berikut dalam membantu anda menyediakan sebuah rumah yang diyakini memberi perlindungan optimum kepada diri, keluarga dan harta benda anda.

 

Pintu

 

Pastikan pintu rumah anda kukuh dan kuat. Uji kelasakan rangka pintu anda bagi memastikan ia benar-benar kukuh. Gunakan pintu kayu yang tebalnya tidak kurang 4.5 cm (1 ¾ inci) atau pintu logam teras. Jangan gunakan pintu yang diperbuat daripada kaca atau papan yang nipis kerana ia mudah pecah apabila ditumbuk atau ditendang dengan kuat.

 

Pastikan engsel pintu tidak boleh dicabut skru-skrunya daripada luar. Skru engsel yang boleh dibuka daripada luar memudahkan penjenayah untuk membuka pintu secara senyap tanpa disedari. Gunakan skru-skru yang panjang dan kukuh. Skru yang pendek dan rapuh pada engsel mudah dibuka dan mudah tertanggal apabila pintu dirempuh dengan kuat.

 

Pastikan ada lubang kecil pada pintu untuk melihat keluar. Lubang kecil ini membolehkan anda mengenal pasti identiti tetamu anda sebelum membuka pintu. Lubang kecil tersebut hendaklah sesuai dengan ketinggian penghuni rumah dan memberikan kawasan penglihatan keluar yang luas. Lubang kecil ini hendaklah berpenutup daripada dalam. Jangan membuka pintu sebelum anda mengetahui identiti tetamu anda.

 

Pasang dua kunci atau lebih untuk pintu rumah. Ia menyukarkan penjenayah untuk membuka kunci-kunci yang pelbagai itu. Jarakkan tidak kurang 30 cm (1 kaki) antara kunci-kunci itu. Ia memberikan perlindungan yang lebih berkesan kepada rumah anda kerana penjenayah terpaksa mencari kedudukan kunci terlebih dahulu sebelum membukanya. Ia juga menyokong kekukuhan pintu daripada mudah terkopak apabila dirempuh dengan kuat. Sekiranya anda memposisikan banyak kunci hanya pada satu tempat, ia memudahkan penjenayah memfokuskan kawasan tersebut sahaja dan pintu lebih mudah terkopak di bahagian lain kerana hanya kawasan tersebut sahaja yang kukuh bukan keseluruhan pintu.

 

Jadikan kunci selak mati(dead bolt lock) sebagai kunci utama. Kunci selak mati lebih kukuh dan kuat daripada sebarang kunci lain. Keadaannya yang sukar untuk diakses daripada luar menyebabkan ia merupakan perlindungan yang efektif. Pastikan skru yang kukuh tidak kurang 2.5 cm untuk mengikat strike plate. Apabila pintu diterpa dengan kuat, amat jarang kunci selak mati ini akan pecah tetapi pintu boleh terbuka akibat skru yang mengikat strike plate tersebut terlalu kecil dan rapuh.

 

Pasang selak berantai sebagai kunci tambahan. Ia dapat membantu menghalang atau melengahkan penjenayah daripada terus memasuki rumah anda setelah berjaya membuka kunci utama. Ia juga perlindungan terbaik untuk penghuni rumah untuk memeriksa keadaan di luar rumah sekiranya pandangan daripada lubang kecil terhalang. Ia juga membolehkan anda menerima bungkusan tanpa membuka pintu sepenuhnya. Selak berantai tidak boleh dibuka dengan kad.

 

Pastikan bingkai pintu anda kukuh. Gunakan kayu yang kuat dan tidak rapuh. Pastikan juga bingkai pintu terikat kukuh pada dinding. Pintu mudah terbuka apabila dirempuh kuat sekiranya bingkai pintu tidak kukuh.

 

Pastikan pintu Slaid tidak boleh diangkat daripada landasan. Pasang kunci yang mengikat di tengah-tengah pintu slaid. Anda juga boleh menyediakan penahan kayu atau besi di landasan pintu tersebut untuk menahan daripada pintu itu dibuka. Gunakan cermin kaca campuran plastik atau plastik yang susah dipecahkan. Adalah lebih baik cermin pandang sehala digunakan untuk pintu Slaid rumah anda. Cermin pandang sehala membolehkan anda memandang keluar tetapi tidak membenarkan orang daripada luar memandang ke dalam.

 

Tingkap

 

Pastikan tingkap rumah anda kukuh dan tidak mudah pecah.  Gunakan cermin kaca campuran plastik atau plastik yang susah dipecahkan. Adalah lebih baik cermin pandang sehala digunakan untuk tingkap rumah anda. Cermin pandang sehala membolehkan anda memandang keluar tetapi tidak membenarkan orang daripada luar memandang ke dalam.

 

Pastikan skru engsel tingkap kuat. Gunakan skru yang panjang kerana ia menyukarkan penjenayah untuk mencabut skru.

 

Pastikan tingkap boleh ditutup rapat dan tiada ruang untuk membuka kunci tingkap daripada luar dengan menggunakan kad atau sebagainya. Jangan letakkan engsel di bahagian luar kerana mudah diakses oleh penjenayah.

 

Pastikan tingkap dikunci terutama ketika anda keluar pada waktu malam. Sekiranya anda membuka tingkap, pastikan bahawa anda sentiasa berwaspada dengan perkara yang berlaku dan barangan yang diletakkan berdekatan dengan tingkap.

 

Lekatkan pelekat sistem penggera keselamatan di tingkap rumah. Ia memberitahu penjenayah bahawa anda memasang sistem penggera untuk melindungi rumah anda seterusnya menyebabkan penjenayah berfikir panjang untuk menceroboh rumah anda.

 

Jangan kunci mati tingkap dengan skru atau paku. Tingkap boleh menjadi pintu keluar kecemasan ketika kebakaran atau rompakan berlaku ke atas rumah anda.

 

Pasang langsir atau tirai untuk menghalang pandangan daripada luar. Jangan benarkan barang-barang di dalam rumah anda menjadi tontonan awam. Perkara ini boleh menimbulkan keinginan penjenayah untuk mencerobohi rumah anda. Sekiranya anda tidak menggunakan cermin pandang sehala, langsir dan tirai adalah alternatif yang efektif di samping menambah keceriaan rumah anda.

 

Bilik

 

Asingkan bilik tidur anda, anak lelaki dan anak perempuan anda. Jangan campurkan mereka di dalam satu bilik terutama apabila menginjak umur remaja. Ia untuk mengelakkan berlakunya kejadian-kejadian yang tidak diingini dalam keluarga seperti sumbang muhram.

 

Pastikan semua bilik dikunci sebelum tidur. Ia memberi halangan kepada penjenayah untuk mengugut dan mencederakan anda dengan cepat. Ia juga melengahkan masa penjenayah dan anda boleh mengambil kesempatan untuk meminta bantuan atau melarikan diri melalui tingkap. 

 

Gunakan kunci tekan tombol untuk pintu bilik. Penggunaan kunci ini memudahkan anda keluar melarikan diri jika berlaku kecemasan tanpa perlu mencari kunci ketika panik.

 

Jangan simpan wang yang banyak di rumah. Simpanlah wang dan barangan berharga di bank. Penjenayah akan cuba mendapatkan semua wang dan barangan berharga apabila merompak rumah anda. Begitu juga sekiranya rumah anda terbakar dan anda tidak sempat menyelamatkan harta benda anda. Kejadian-kejadian seperti ini menyebabkan anda mengalami kerugian yang besar.

 

Simpan sedikit wang tunai yang mencukupi untuk kecemasan di rumah anda. Sediakan wang syiling untuk menelefon mendapatkan bantuan sekiranya anda berjaya meloloskan diri ketika rumah anda dirompak. Wang itu juga berguna untuk anda melarikan diri sekiranya jenayah keganasan rumah tangga terjadi.

 

Simpan duit, barang kemas dan dokumen penting di beberapa tempat yang tersembunyi. Jangan menyimpan di satu tempat sahaja kerana penjenayah akan mudah mendapatkannya. Apabila disimpan di banyak tempat yang berasingan, penjenayah akan memerlukan lebih masa untuk mendapatkannya dan ini akan melengahkan masa sehingga bantuan sampai.

 

Simpan senjata untuk kecemasan di dalam bilik tidur anda. Sekiranya anda berkeyakinan untuk mempertahankan diri dan melawan penjenayah, senjata seperti kayu beroti,pisau,tongkat atau besi paip yang disimpan di dalam bilik anda adalah berguna. Mahirkan diri anda untuk menguasai penggunaannya. Sebelum penjenayah berjaya mengugut anda, atur strategi untuk menewaskan mereka.

 

Simpan barang-barang ini di bilik tidur anda:-

 

Ø  Telefon bimbit

 

Simpan nombor telefon bantuan kecemasan di dalam telefon bimbit anda. Apabila berlakunya kecemasan anda tidak perlu bersusah payah untuk mengingati nombor telefon bantuan kecemasan sedangkan anda dalam keadaan panik. Telefon bimbit menjadi alat penting dalam meminta bantuan kerana tiada risiko talian telefon dipotong penjenayah terlebih dahulu sebelum pencerobohan dilakukan.

 

 

 

Ø  Setin pemedih mata (pepper spray)

 

Pemedih mata digunakan dengan menyemburnya ke mata penjenayah untuk menghalang penglihatan penjenayah. Semburan yang memedihkan mata ini akan memberikan peluang kepada anda untuk bertindak balas terhadap penjenayah atau melarikan diri.

 

Ø  Tuala untuk menutup muka

 

Sediakan tuala yang bersih. Tuala digunakan untuk menutup muka anda jika terbatuk atau terbersin akibat semburan. Ia juga digunakan untuk menutup muka daripada tersedut asap kebakaran.

 

Ø  Lampu suluh

 

Lampu suluh akan digunakan sekiranya anda terpaksa berjalan di tempat yang gelap atau bekalan elektrik telah diputuskan oleh penjenayah. Lampu suluh juga boleh digunakan untuk memberi isyarat meminta pertolongan.

 

Ø  Butang penggera kecemasan sekiranya ada atau wisel

 

Tiupan wisel yang kuat boleh menyedarkan jiran-jiran untuk menolong anda. Ia juga boleh menyebabkan penceroboh rumah anda terkejut dan panik dan berfikiran untuk melarikan diri.

 

Dapur

 

Letakkan pisau dan peralatan dapur yang tajam di dalam laci berkunci dan terselindung. Kebanyakan penceroboh memecah masuk melalui pintu dapur. Oleh itu kekuatan pintu dapur mestilah sama kukuh dengan pintu utama. Penceroboh mungkin tidak membawa alatan atau senjata yang banyak ketika menceroboh, sebaliknya mereka menggunakan senjata tajam yang diambil daripada dapur rumah. Menyimpan pisau di laci yang terselindung bukan sahaja dapat mengelakkan penceroboh menggunakannya untuk mengugut anda, tetapi juga sebagai langkah keselamatan daripada digunakan oleh anak-anak anda yang boleh menyebabkan kemalangan atas diri mereka.

 

Sekiranya anda terperangkap di dalam rumah dan di luar bilik ketika pencerobohan berlaku, larikan diri anda ke dapur. Di dapur terdapat pintu untuk anda melarikan diri. Selain itu anda boleh menggunakan peralatan dapur sebagai senjata untuk pertahanan diri anda.

 

Halaman

 

Pastikan tanaman di sekeliling rumah anda tidak menghalang pandangan daripada tingkap. Jangan menanam pokok-pokok besar di halaman rumah anda. Ia menghalang pandangan anda ke sekeliling rumah. Selain itu ia juga boleh menjadi tempat penjenayah mengintip pergerakan anda di dalam rumah. Pokok yang besar juga boleh menjadi tangga untuk memasuki rumah anda melalui bumbung atau tingkat atas rumah anda. Sekiranya penjenayah mencerobohi rumah anda, pokok yang besar menghalang pandangan awam ke rumah anda walaupun anda membuka tingkap. Ini menyebabkan sukar untuk anda mendapat pertolongan. Tanamlah pokok renek sebagai hiasan halaman anda. Pastikan anda boleh melihat ke luar dengan jelas untuk memastikan apa yang berlaku di luar tanpa perlu keluar yang akan membahayakan diri.

 

Pastikan tiada ruang untuk penjenayah bersembunyi untuk mengintip anda. Jangan biarkan tanaman hiasan anda terlalu merimbun sehingga menghalang pandangan keluar. Cantaslah pokok renek dengan rapi dan teratur untuk keselamatan anda. Susun peralatan dan barang-barang di luar rumah dengan baik supaya tidak menghalang pandangan ke persekitaran rumah.

 

Letakkan tanaman hiasan berduri di tempat yang strategik di halaman rumah. Ini merupakan cara yang efektif untuk menghalang penjenayah bersembunyi di tempat terlindung sewaktu mengintip anda. Penjenayah yang cuba bersembunyi di kawasan itu akan tertusuk duri atau pakaiannya akan tersangkut pada duri tumbuhan tersebut.

 

Pasang pagar yang tinggi dan kukuh untuk keselamatan. Untuk menghalang pencuri masuk ke dalam dan melarikan diri daripada rumah anda dengan mudah. Pastikan pagar rumah anda menyukarkan penjenayah melepasi halaman ini. Jangan gunakan pagar daripada dawai yang mudah dipotong atau binaan tembok pagar rendah yang mudah dipanjat penjenayah.

 

Berikan gambaran bahawa anda tidak tinggal bersendirian pada alamat di peti surat. Apabila penjenayah mengetahui anda tinggal bersendirian, anda akan menjadi sasaran kerana lebih mudah bagi penjenayah menceroboh rumah yang didiami bersendirian.

 

Komputer

 

Pasang komputer untuk anak anda di ruang yang mudah diawasi. Pengawasan ibu bapa terhadap penggunaan komputer dan Internet anak-anak adalah penting untuk mengelakkan mereka terdedah kepada jenayah siber dan laman-laman web yang bertentangan dengan moral.. Hindarkan anak-anak anda daripada mengunjungi laman-laman web sedemikian kerana ia boleh mempengaruhi fikiran dan pemikiran mereka. Hadkan penggunaan Internet untuk anak anda Didik anak anda untuk menggunakan Internet dengan cara yang betul dan bermoral. Ia dapat membantu pendidikan mereka.

 

Lengkapkan komputer anda dengan program antivirus terkini. Setiap tahun virus baru akan dicipta penjenayah siber untuk mengatasi perisian antivirus yang lama. Perisian antivirus yang terkini diperlukan untuk membentengi komputer anda daripada serangan virus yang mampu untuk memusnahkan fungsi keseluruhan komputer.

 

Campurkan huruf besar, huruf kecil, nombor, dan simbol untuk kata laluan (password) anda. Jangan menggunakan kata laluan (password) yang terlalu mudah untuk diteka kerana pencerobohan terhadap dokumen rahsia dan e-mel bakal menggugat keselamatan anda. Penjenayah siber akan mudah mengambil kesempatan untuk mengugut anda. Ingat dan rahsiakan password anda

 

Jangan ingatkan Internet sebarang password anda. Apabila ada kotak bualan (dialog box) untuk mengingat kata laluan ketika membuka e-mel atau dokumen peribadi di Internet, klik “No” dan apabila selesai berurusan dengan e-mel atau dokumen tersebut klik “Sign Out Completely”. Ini mengelakkan pengguna komputer selepas anda menceroboh e-mel dan dokumen anda. Kelalaian terhadap perkara ini mendedahkan anda untuk menjadi mangsa penjenayah siber.

 

Jangan dedahkan maklumat peribadi anda di Internet. Penjenayah siber boleh menggunakan maklumat peribadi anda untuk menipu di Internet. Selain itu mereka boleh mengugut dan memeras anda berdasarkan maklumat peribadi yang telah anda berikan. Maklumat-maklumat berkaitan kewangan dan personaliti anda merupakan sasaran utama penjenayah siber.

 

Berhati-hati dengan e-mel yang tidak dikenali. Jangan buka e-mel yang meragukan. Kuarantin atau buang sahaja e-mel tersebut. E-mel merupakan agen yang aktif dalam menyebarkan virus untuk menyerang komputer. Anda boleh menggunakan khidmat pelayan untuk menapis penerimaan e-mel.

 

Selidik syarikat perniagaan sebelum membeli barangan. Elakkan diri anda daripada tertipu dengan iklan di Internet. Pastikan barangan yang dikeluarkan adalah mengikut kualiti yang ditetapkan dan harga yang berpatutan. Anda perlu membuat kajian terlebih dahulu bagi memastikan anda tidak tertipu Jangan tertipu dengan barang yang kurang berkualiti atau barang yang tidak wujud di pasaran. Adalah lebih baik anda menggunakan khidmat syarikat yang telah terkenal dengan kejujuran dan kecekapan dalam jual beli melalui talian.

 

Gunakan penahan atau penapis untuk menghalang penggunaan laman web yang tidak sesuai. Penggunaan Internet yang diselewengkan boleh menyebabkan keruntuhan moral dalam masyarakat. Penahan atau penapis akan menyekat pengguna Internet daripada melayari laman web yang tidak bermoral.

 

Lihat “history” untuk mengetahui penggunaan Internet komputer anda. Anda boleh memeriksa laman web yang dilayari pengguna komputer anda melalui ikon “history” bagi memastikan mereka menggunakan komputer anda dengan tujuan yang dibenarkan sahaja.

 

Jangan dedahkan nama, alamat dan nombor telefon sebenar di ruang chat. Penjenayah siber boleh menggunakan maklumat-maklumat tersebut untuk memburu anda seterusnya melaksanakan misi jenayah mereka. Kebanyakan penjenayah siber menggunakan ruang chat untuk  memerangkap mangsa. Jika anda tidak berhati-hati ketika berbual dengan rakan yang tidak dikenali dengan mendedahkan segala maklumat, anda mungkin terjerat dengan perangkap penjenayah. 

 

Jangan membuat temu janji berseorangan dengan orang yang anda kenali melalui ruang chat. Bawalah rakan atau saudara untuk menemani anda ketika bertemu janji. Ini mengelakkan sesuatu yang tidak baik dilakukan terhadap anda oleh penjenayah yang ingin memerangkap anda.

 

Telefon

 

Jangan layan panggilan telefon daripada orang yang tidak dikenali. Sebelum melakukan jenayah, penjenayah akan cuba mengumpul maklumat tentang diri anda sebanyak mungkin untuk melicinkan tindakan jenayah mereka. Salah satu cara yang digunakan adalah menghubungi anda dengan menyamar tersalah mendail nombor lalu menghulurkan salam perkenalan seterusnya mendapatkan maklumat tentang diri anda.

 

            Oleh itu sekiranya terdapat panggilan tersalah dail, nyatakan kepada pemanggil bahawa tiada orang yang ingin dihubunginya di rumah anda dan jangan layan sebarang pertanyaan lain. Sekiranya pemanggil bertanya nombor telefon anda dalam usaha memastikan nombor yang didailnya, jangan beritahu nombor anda sebaliknya tanya nombor yang ingin didailnya. Jika bukan nombor telefon anda, katakan bahawa dia tersalah mendail nombor. Ini mengelakkan nombor telefon anda disimpan oleh penjenayah yang akan cuba lagi menghubungi anda. Jika anda diganggu berkali-kali oleh pemanggil yang sama, laporkan kepada polis. 

 

Jangan mempercayai panggilan daripada syarikat-syarikat jualan yang menawarkan hadiah atau baucar. Begitu juga panggilan untuk meminta sumbangan derma untuk pertubuhan kebajikan. Minta pemanggil memberikan nama, jawatan, nombor telefon dan alamat mereka supaya anda boleh menyelidiki kesahihan butiran yang diberikan. Sekiranya mereka enggan berbuat demikian dengan pelbagai alasan diberikan, ugutlah mereka dengan laporan polis atau letakkan sahaja telefon anda. Muslihat hadiah syarikat jualan atau sumbangan derma sering digunakan penjenayah untuk memperdayakan orang ramai. Hadiah dan baucar digunakan sebagai umpan untuk memaksa pengguna membeli barang lain lebih tinggi daripada nilai sebenar. Sumbangan derma pula adalah cara yang digunakan untuk menipu duit anda dengan menggunakan nama pertubuhan kebajikan yang tidak wujud. Kadangkala pertubuhan yang disebut memang ada tetapi pemanggil bukanlah individu yang berhak untuk memohon sumbangan derma bagi pihak tersebut sebaliknya dia menggunakannya untuk tujuan jenayah.

 

Jangan dedahkan maklumat dan keadaan anda melalui telefon. Jangan memberitahu pemanggil

 

Ø  Bahawa anda tinggal bersendirian

 

Penjenayah akan cuba mengambil kesempatan untuk melakukan jenayah terhadap anda apabila mengetahui bahawa anda bersendirian di rumah. Pencerobohan terhadap rumah individu yang tinggal bersendirian adalah lebih mudah dilakukan berbanding dengan rumah yang didiami secara berkumpulan. Memberitahu bahawa anda bersendirian akan mengundang bencana terhadap diri anda sendiri.

 

Ø  Bahawa anda bersendirian berada di rumah

 

Memberitahu bahawa anda bersendirian akan mengundang bencana terhadap diri anda sendiri.

 

Ø  Nombor telefon anda

 

Ø  Alamat rumah anda

 

Ø  Nama anda

 

Ø  Maklumat kewangan, perbankan dan kad kredit anda

 

 

Pemberian maklumat peribadi dan kewangan anda melalui telefon membolehkan penjenayah menggunakannya untuk pemalsuan kad kredit atau cek. Ia juga boleh digunakan untuk melakukan jenayah lain yang boleh menyebabkan kehidupan akan berubah kepada tidak tenteram.

 

Jangan bersetuju untuk dikaji selidik melalui telefon. Jika anda berminat untuk dikaji selidik, beritahu pemanggil untuk mengeposkan borang kaji selidik kepada anda. Jangan sesekali bersetuju untuk menjawab sebarang soalan melalui telefon kerana tidak dapat dipastikan kesahihan tujuan kaji selidik dilakukan.

 

Jika anda menerima borang kaji selidik, jangan jawab soalan berkaitan dengan kewangan dan kehidupan peribadi anda. Jawablah soalan-soalan yang berbentuk umum dan pendapat sahaja. Soalan-soalan seperti berapa nilai aset yang anda miliki dan bila anda pergi dan pulang kerja hendaklah dielakkan.

 

Simpan bil telefon anda untuk dijadikan rujukan dan bukti. Bil telefon boleh digunakan sebagai bukti di mahkamah sekiranya jenayah berlaku terhadap anda  dan anda membawanya untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

 

Paparkan nombor telefon pihak keselamatan dan orang penting berhampiran telefon anda.  Anda boleh menulis nombor telefon yang berkaitan dengan besar dan tampalkan di dinding berdekatan dengan telefon anda. Ini memudahkan anda mendail untuk mendapatkan bantuan semasa kecemasan tanpa perlu tercari-cari nombor telefon yang berkaitan.

 

Anda boleh menggunakan telefon yang mempunyai ciri Caller ID. Ciri Caller ID memaparkan nombor telefon pemanggil yang menghubungi anda. Ia turut memaparkan nombor-nombor telefon panggilan yang tidak berjawab dan nombor-nombor telefon yang didail daripada telefon anda. Ciri-ciri seperti ini membantu anda menangani gangguan penjenayah yang menelefon anda. Ia juga dapat memudahkan laporan anda kepada polis dan membantu polis membuat siasatan.

 

Jangan gunakan perkataan “saya” untuk merekodkan pada mesin perakam suara telefon anda. Jika anda menggunakan mesin perakam suara telefon untuk mengambil pesanan ketika anda tiada di rumah, gunakanlah perkataan “kami”. Lebih baik anda menggunakan suara lelaki untuk tujuan tersebut. Ia memberikan gambaran kepada pemanggil bahawa anda tidak duduk berseorangan. Penjenayah yang tidak mengenali anda secara dekat akan berfikir beberapa kali untuk meneruskan niat untuk menceroboh rumah anda.

 

Barang-barang

 

Simpan resit pembelian,gambar dan nombor siri barangan berharga. Sekiranya rumah anda dirompak, butiran-butiran ini dapat membantu siasatan polis untuk mengenal pasti barang-barang yang dicuri. Jika barang-barang itu mempunyai perlindungan insurans, butiran-butiran tersebut juga dapat memudahkan urusan anda dengan syarikat insurans. Tandakan barang-barang dengan tanda unik, kekal dan mudah dikenal pasti. Ini memudahkan anda mencari barang-barang yang hilang atau tersalah ambil oleh orang lain. Jika barang-barang itu dicuri, tanda tersebut membantu anda mengenal pasti hak milik anda. Selain itu ia boleh menimbulkan keraguan di hati penjenayah untuk mengambil barang-barang yang ditandai kerana ia mudah dikenal pasti dan susah dihilangkan tanda tersebut.

 

Jauhkan barang-barang mudah alih daripada tingkap dan pintu. Barang yang kecil dan ringan mudah dibawa dan disembunyikan tanpa disedari. Sekiranya anda meletakkan barang-barang tersebut berhampiran tingkap atau pintu, kemungkinan barang-barang itu diambil oleh penjenayah secara mencapai daripada luar ketika tingkap atau pintu terbuka tetap ada. Kelalaian anda dalam perkara ini akan menyebabkan anda menanggung kerugian. Barang-barang  kecil yang selalu dibawa seperti kunci, telefon bimbit dan beg tangan sering dicuaikan dengan diletakkan di tempat-tempat yang terdedah, memberikan peluang kepada penjenayah untuk melaksanakan niat mereka.

 

Tetamu

 

Sekiranya pintu diketuk atau ada suara panggilan daripada luar, lihat menerusi lubang kecil atau tingkap sebelum membuka pintu. Pastikan anda mengenali tetamu yang datang ke rumah anda. Jika tidak berpuas hati dengan pandangan anda, tanya siapa yang berada di luar. Jangan benarkan orang yang tidak dikenali memasuki rumah anda walaupun dia mengaku rakan atau saudara kepada rakan serumah anda. Penjenayah mampu menyamar menjadi sesiapa sahaja untuk memperdaya mangsanya.

 

Jika pandangan anda menyebabkan anda gelisah, abaikan ketukan pintu dan jangan bertanya. Ikut naluri anda. Menghadapi tetamu yang tidak diundang memerlukan keberanian dan percaya diri untuk bertindak balas sekiranya sesuatu terjadi. Jika anda tidak berkeyakinan dan tidak menyenangi kedatangan tetamu tersebut atas sebab-sebab tertentu, jangan memberi sebarang respons terhadap panggilannya. Biarkan rumah seolah-olah tiada orang di dalamnya.

 

Tanya tujuan kedatangan tetamu sebelum membuka pintu. Setelah anda melihat menerusi lubang kecil, jika anda tidak mengenali tetamu anda atau tetamu anda hanyalah kenalan biasa yang anda tidak tahu latar belakangnya, pastikan kehadirannya dengan niat yang baik. Bandingkan niatnya dengan keadaan diri dan pakaiannya. Pastikan ia bersesuaian barulah anda boleh mempercayainya.

 

Beritahu tetamu anda yang anda tidak selesa untuk berbicara pada waktu ini. Minta dia datang pada waktu lain. Jika anda berasa ragu-ragu terhadap kedatangannya, jangan buka pintu. Buatlah alasan yang munasabah menunjukkan anda tidak bersedia menerima kedatangannya pada waktu itu.

 

Sekiranya anda berasa kurang senang untuk menjemput tetamu masuk ke rumah anda, keluarlah dan berbicara di luar. Ketika melangkah keluar, tutup pintu supaya anda tidak boleh ditolak ke dalam. Apabila anda berbicara di luar, perbualan anda terdedah kepada pandangan umum. Pandangan umum akan menyekat niat penjenayah untuk melakukan jenayah terhadap anda. Perbualan di luar juga menghalang penjenayah untuk memerhati barang-barang yang ada di dalam rumah anda. Penjenayah juga tidak berpeluang untuk meneliti keadaan dan bentuk rumah anda yang mesti diketahuinya sebelum menceroboh rumah anda di lain waktu.

 

Penghantar Bungkusan

 

Perhatikan pakaian dan kenderaan yang digunakan penghantar bungkusan melalui lubang kecil. Tujuannya adalah untuk memastikan bahawa mereka adalah benar-benar penghantar bungkusan dan bukan penjenayah yang menyamar untuk menceroboh rumah anda. Penghantar bungkusan biasanya memakai pakaian seragam yang ditentukan oleh syarikatnya. Mereka juga biasanya menggunakan kenderaan syarikat sekiranya menghantar bungkusan yang agak besar. Jika surat dan bungkusan yang kecil penghantar bungkusan biasanya menggunakan motosikal kerana lebih mudah bergerak.

 

Minta penghantar bungkusan meletakkan bungkusan di depan pintu. Setelah pasti bahawa bungkusan itu ditujukan kepada anda. Mintalah penghantar bungkusan beredar. Setelah anda pasti dia telah beredar daripada rumah anda barulah anda mengambil bungkusan.

 

Jika ada dokumen yang perlu ditandatangani, minta dokumen itu diserahkan melalui ruang di bawah pintu atau sekiranya pintu anda dilengkapi selak berantai, buka sedikit pintu anda, tetapi pastikan selak berantai dipasang. Kunci selak berantai tidak mampu untuk menampung kuasa tolakan yang kuat, tetapi ia mampu menjadi pencegah sementara seseorang daripada terus menyerbu masuk ke dalam rumah anda.

 

Jangan menjemput penghantar bungkusan masuk ke dalam rumah anda. Walaupun penghantar bungkusan itu memakai pakaian seragam dan menggunakan kenderaan syarikat, kebarangkalian dia adalah penjenayah yang menyamar tetap ada. Oleh itu anda hendaklah sentiasa berwaspada. Dengan jemputan masuk anda memberi dia peluang untuk memerhati keseluruhan rumah dan kedudukan barang-barang anda dan sekiranya dia bertindak ganas terhadap anda, ia berpunca daripada kesilapan anda sendiri.

 

Jangan biarkan pintu rumah terbuka jika anda terpaksa mengambil sesuatu. Jika penghantar bungkusan sedang berurusan dengan anda, tiba-tiba anda teringat sesuatu untuk dilakukan di dalam rumah seperti makanan yang sedang dimasak atau telefon berdering, minta penghantar bungkusan tunggu sebentar dengan alasan anda. Tutup dan kunci pintu. Kelalaian anda dalam perkara sebegini boleh mendatangkan musibah yang besar. Penjenayah sering menunggu kelalaian seperti ini untuk bertindak  melakukan rompakan di saat anda tidak bersedia.

 

Jurujual

 

Pasang papan tanda “Jurujual Tidak Dibenarkan Masuk”. Satu karakter lagi yang biasa digunakan oleh penjenayah untuk penyamaran diri dalam usaha memerangkap mangsa adalah jurujual. Jika anda tidak mahu kehidupan anda diganggu oleh jurujual,pasanglah peringatan tersebut di pintu pagar atau pintu rumah anda. Papan tanda seperti itu adalah kenyataan yang tegas daripada penghuni rumah dan sesiapa sahaja mampu memahaminya. Apabila ada jurujual mengetuk pintu rumah, ingatkannya tentang papan tanda tersebut dan minta mereka beredar.

 

Sekiranya anda gemar melayan jurujual, tanyalah maklumat yang berkaitan dengan produk dan syarikat sebelum membuka pintu. Setelah anda yakin dengan kenyataan mereka dan berminat dengan produk yang dijual, keluarlah untuk berjumpa mereka. Jangan benarkan jurujual masuk ke rumah anda, sebaliknya anda keluar dan tutup pintu. Minta jurujual menunjukkan produk mereka. Kemudian minta kad perniagaan mereka dan rancangkan pertemuan lain ketika anda bersama rakan-rakan untuk demonstrasi.

 

Lihat ke mana jurujual pergi setelah rumah anda. Pastikan dia mengunjungi setiap rumah jiran anda. Jika tidak camkan muka dan nombor pendaftaran kenderaannya. Jika mereka benar-benar jurujual, mereka akan mengunjungi setiap rumah di kawasan itu, sebaliknya jika mereka penyamar yang cuba memerangkap anda, mungkin mereka akan terus berlalu pergi setelah melihat reaksi anda terhadap mereka. Jika ini berlaku, pastikan anda mencatat nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan oleh mereka kerana ia mungkin berguna ketika anda membuat laporan polis jika sesuatu terjadi pada anda di kemudian hari.

 

Baikpulih dan Pemasangan

 

Jika anda memanggil perkhidmatan baikpulih atau pemasangan alatan, minta rakan anda menemani anda sepanjang perkhidmatan itu dijalankan. Penjenayah juga boleh menyamar sebagai pekerja perkhidmatan baikpulih atau pemasangan alatan. Penjenayah seperti ini akan mengambil kesempatan untuk melakukan jenayah di rumah anda kerana berpeluang untuk memasuki rumah dengan izin anda sendiri. Saat terbaik untuknya melakukan jenayah adalah ketika anda berseorangan.

 

Jangan sesekali meninggalkan rumah tanpa penghuni ketika kerja baikpulih atau pemasangan alatan dilakukan. Jangan menerima sebarang khidmat baikpulih atau pemasangan ketika anda tiada di rumah. Ini mendedahkan penjenayah yang menyamar untuk menggeledah rumah anda dan melarikan diri tanpa sebarang halangan.

 

Alihkan barangan berharga dan simpan di tempat yang selamat sebelum kerja perkhidmatan dijalankan. Jika kerja baikpulih atau pemasangan alatan perlu dilakukan di bahagian rumah yang terdapat barang-barang berharga atau dokumen-dokumen penting, pindahkan barang-barang dan dokumen tersebut ke tempat lain sebelum pekerja tiba untuk menjalankan tugas.

 

Kerap bertanya tentang perkembangan kerja yang dilakukan. Sentiasa menyelia kerja mereka dari masa ke masa. Tunjukkan yang anda memerhati mereka dari masa ke masa. Tanyalah soalan-soalan seperti “bagaimana keadaannya?” atau “ada masalah?” Ia satu cara yang berkesan untuk mengurangkan kemungkinan mereka mencuri barang-barang anda kerana anda akan muncul tiba-tiba pada sebarang masa. Selain itu mereka akan menyelesaikan kerja dengan lebih cepat dan hasil kerja akan lebih memuaskan. 

 

Buka semua langsir dan tirai tingkap. Jangan tutup pintu. Ketika kerja baikpulih atau pemasangan alatan dilakukan, jadikan setiap pergerakan pekerja di dalam rumah anda boleh dilihat oleh orang awam daripada luar. Ini mengurangkan risiko kejadian jenayah dilakukan kepada anda kerana orang yang lalu-lalang di persekitaran rumah anda akan dapat melihat perlakuan pekerja terbabit.

 

Kecemasan

 

Jika penceroboh memasuki rumah anda, cuba untuk keluar secara senyap dan tidak disedari penceroboh dan hubungi bantuan. Jangan cuba untuk menyiasat bersendirian. Ia akan memerangkap diri anda sendiri. Jika anda berada di bilik, anda boleh cuba keluar melalui tingkap bilik tersebut. Sebelum mencuba keluar, kuncilah bilik tersebut untuk menghalang penceroboh masuk ke bilik tersebut dengan cepat. Jangan sampai penceroboh dapat menghalang anda daripada meloloskan diri. Untuk bilik di tingkat atas, pasanglah tangga kecemasan di tingkap bilik. Ia bukan sahaja berguna apabila berlaku pencerobohan, tetapi juga pada ketika kebakaran.

 

Sekiranya anda tidak boleh keluar, hubungi bantuan dengan telefon bimbit tetapi pastikan yang penceroboh tidak mendengar suara anda. Sekiranya bahagian rumah yang diceroboh itu adalah laluan anda untuk menyelamatkan diri atau penceroboh berada terlalu hampir dengan bilik anda yang menyebabkan anda tidak dapat menyusup keluar, segeralah bersembunyi di dalam almari atau di bawah katil. Bawa telefon bimbit anda bersama. Hubungi talian kecemasan 999, nombor telefon balai polis yang berhampiran atau jiran-jiran anda yang terdekat untuk mendapatkan bantuan. Berhati-hatilah jangan sampai suara dan pergerakan anda didengari penceroboh. Sekiranyadisedari, mereka mungkin akan bertindak ganas terhadap anda.

 

Dalam keadaan terlalu cemas, dail 999, biarkan telefon anda tergantung dan bercakap membayangkan tempat anda berada. Jika penceroboh menjumpai anda sebelum anda sempat bercakap meminta bantuan kecemasan, jangan putuskan talian sebaliknya biarkan sahaja dan letakkan telefon itu berhampiran dengan anda. Bercakaplah dengan kuat kepada penceroboh dan dalam percakapan itu, bayangkan lokasi dan perkara yang berlaku di rumah anda. Apabila pihak bantuan kecemasan mendengar percakapan anda itu mereka akan memahami dan menghantar bantuan secepat mungkin.

 

Panggilan 999 hanya untuk kecemasan. Ingatan penting untuk anda, jangan menyalahgunakan talian bantuan kecemasan. Penyalahgunaan talian bantuan kecemasan akan menyebabkan individu lain yang benar-benar dalam keadaan cemas tidak mendapat pertolongan yang sewajarnya akibat kelewatan panggilan diterima.

 

Jika rumah anda dirompak, jangan sentuh apa-apa barangan, dan buatlah laporan polis segera. Jika anda pulang ke rumah dan mendapati rumah anda sedang dirompak, jangan masuk ke dalam rumah sebaliknya hubungi polis dan tunggu sampai polis sampai. Perhatikan perlakuan perompak dan kenderaan yang digunakannya. Catatkan rupa badan perompak, jenis kenderaan yang digunakan dan nombor pendaftarannya. Jika anda pulang ke rumah dan mendapati rumah anda telah dirompak, jangan bertindak sendirian untuk menyiasatnya kerana anda mungkin akan menghilangkan bukti-bukti penting yang diperlukan polis untuk menjalankan siasatan seperti kesan cap jari dan sebagainya. Buatlah laporan polis dan biarkan polis menjalankan siasatan.

 

Keluar Rumah

 

Jadikan rumah anda kelihatan sentiasa berpenghuni. Penjenayah lebih gemar memilih rumah yang tidak berpenghuni kerana tidak mahu bertembung dengan tuan rumah yang mampu menggagalkan usaha mereka. Sekiranya anda hanya keluar sebentar, biarkan lampu dan radio terpasang seolah-olah anda berada di rumah ketika itu dan jangan tinggalkan nota di pintu rumah anda.

 

Beritahu jiran yang dipercayai atau jawatankuasa rukun tetangga supaya memerhatikan rumah anda. Jika anda hendak meninggalkan rumah untuk satu tempoh yang agak lama sama ada untuk melancong, balik kampung atau sebagainya, meminta jasa baik jiran tetangga untuk mengawasi rumah anda sepanjang ketiadaan anda adalah satu langkah yang bijak. Selain itu hentikan penghantaran langganan sepanjang tempoh ketiadaan seperti langganan akhar, roti dan sebagainya. Minta jiran anda mengambil surat di peti surat menyimpannya untuk anda sepanjang tempoh tersebut. Sepahkan selipar yang biasa digunakan di luar rumah. Keadaan-keadaan seperti ini boleh memberikan pandangan bahawa rumah anda sentiasa berpenghuni.

 

Pasang lampu hadapan dan belakang rumah anda. Penjenayah sering memilih waktu malam untuk melakukan jenayah memecah rumah kerana kegelapan membantu mereka daripada  dilihat oleh pandangan awam. Oleh yang demikian lampu depan dan belakang yang terpasang akan membantutkan niat penjenayah untuk menceroboh rumah anda kerana gerak geri mereka akan dapat dilihat oleh orang ramai dengan bantuan cahaya lampu itu. Anda boleh memasang pemasa elektonik (electronic timer) untuk mengawal lampu hadapan dan belakang agar terpasang apabila hari beransur gelap dan tertutup apabila hari beransur terang. Ia memperdaya penjenayah seolah-olah anda berada di rumah memasang dan menutup lampu seperti kebiasaannya. Ia juga lebih menjimatkan daripada lampu sentiasa terpasang siang dan malam.

 

Sebelum anda meninggalkan rumah, pastikan langkah-langkah keselamatan telah diambil sepenuhnya. Langkah-langkah keselamatan seperti menanggalkan kepala salur gas daripada tongnya, menanggalkan plug alatan eletrik daripada soketnya, menutup semua suis yang tidak digunakan, menutup meter paip air, mengunci semua tingkap dan pintu dan sebagainya perlu dilakukan untuk menjamin keselamatan rumah anda sepanjang ketiadaan anda.

 

Jangan sembunyikan anak kunci ganti rumah di tempat yang mudah dijangka. Sekiranya penjenayah menemui anak kunci ganti ini, mereka akan menyamar menjadi keluarga atau rakan anda yang diminta untuk menjaga rumah anda sepanjang ketiadaan anda. Tindakan seperti ini mampu mengabui jiran tetangga anda kerana mereka memasuki rumah anda dengan cara yang tidak meragukan.

PERSEDIAAN DIRI

Bersedia

 

Akibat keasyikan terhadap aktiviti-aktiviti harian, kita sering lupa memikirkan tahap keselamatan diri sendiri dan persekitaran. Kelalaian dan kecuaian tersebut sering mengakibatkan kemalangan dan kecelakaan berlaku tanpa kita bersedia menghadapinya. Risiko yang dihadapi adalah besar walaupun bermula dengan kecuaian yang kecil. Jenayah dan kemalangan dapat dielakkan jika kita mengambil sikap berhati-hati dan prihatin terhadap keselamatan diri dan persekitaran.

 

            Untuk itu anda perlu memikirkan dan menjangka segala risiko yang mungkin terjadi terhadap segala aktiviti harian anda. Fikirkan cara untuk menghindarinya.

 

Sediakan pelbagai alternatif terhadap cara tersebut untuk mengelakkan anda buntu jika tidak berjaya mengelakkan risiko dengan cara tersebut.

 

Rasakan tanda-tanda bahaya yang memberikan amaran bahawa anda dalam keadaan tidak selamat seperti nada suara dan ekspresi wajah seseorang yang anda hadapi. Naluri membantu anda untuk bertidak balas terhadap bahaya dan kekal selamat. Walaupun tindak balas anda terhadap tanda-tanda bahaya ini mungkin berlawanan dengan kebiasaan bersosial, anda perlu lebih percaya kepada naluri dan bertindak berpandukannya. Sikap berterus terang boleh menyelamatkan anda dan sentiasa bersedia untuk mengambil tindakan yang sepatutnya.

 

Ketakutan boleh menyebabkan tindak balas negatif ketika berada dalam keadaan bahaya. Lemah, kaku, kelu, termuntah, terkencing adalah tindak balas di luar kawalan yang sering terjadi. Namun jika anda sentiasa bersedia untuk ketakutan, reaksi negatif seperti itu mungkin dapat dielakkan dan anda akan kelihatan yakin dan tenang.

 

Ambil ingatan, tiada siapa boleh memberikan panduan yang tepat tentang tindakan yang perlu dilakukan ketika berada dalam keadaan bahaya kerana setiap keadaan bahaya itu berbeza dan tahap kesiagaan setiap individu itu berlainan. Pada ketika ini naluri anda untuk kekal selamat timbul. Percayalah pada naluri anda dan bertindaklah mengikut lintasan hati anda itu. Secara asasnya anda perlu bertindak mengikut langkah berikut: -

 

1.      Perhatikan keadaan persekitaran anda.

 

Gunakan seluruh deria anda untuk mengenal pasti perkara yang telah terjadi dan risiko berterusan yang anda dan orang lain alami. Bertindaklah dengan pantas.

 

2.      Jadikan ia selamat.

 

Jika anda merasakan ada bahaya yang berterusan bakal berlaku akibat perkara itu, anda perlu mengambil langkah mengelakkan bahaya tersebut terlebih dahulu sebelum melakukan perkara lain.

 

Contohnya apabila kenderaan anda mengalami kerosakan ketika di perjalanan, anda perlu menyalakan lampu isyarat kecemasan walaupun enjin tidak berfungsi kerana ada risiko pemandu kenderaan lain tidak menyedari kenderaan anda lalu melanggarnya.

 

 

3.      Dapatkan pertolongan secepat mungkin

 

Jika kenderaan anda rosak dalam perjalanan, anda memerlukan pertolongan sama ada daripada perkhidmatan kecemasan atau pemandu kenderaan yang lalu lalang. Jika anda diserang penjenayah, menjeritlah meminta bantuan. Jeritan anda boleh menakutkan penjenayah dan menghadirkan bantuan untuk anda.

 

4.      Gunakan rawatan kecemasan.

 

Jika seseorang dalam kecederaan berat, berikan rawatan kecemasan yang anda tahu secepat mungkin.

 

5.      Percayai diri anda mampu membuat keputusan yang betul.

 

Ia berdasarkan pemerhatian deria terhadap situasi, naluri kebiasaan, pengetahuan yang terdahulu dan nasihat yang pernah didengar atau dibaca.

 

Pelan Kecemasan

 

Ambil perhatian terhadap pelan kecemasan yang disediakan di tempat kerja, sekolah, pusat jagaan kanak-kanak dan tempat-tempat lain yang anda kunjungi. Sikap mengambil tahu akan perkara ini memudahkan anda menyelamatkan diri jika berlaku bencana yang tidak diingini. Seterusnya anda akan lebih tenang menghadapi bencana itu dengan pengetahuan anda terhadap langkah keselamatan yang perlu diambil.

 

Merancang pelan kecemasan keluarga

 

Luangkan masa anda untuk berbincang bersama keluarga tentang kecemasan dan bencana yang mungkin dialami dan kepentingan merancang pelan untuk menghadapinya.

 

Antara perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah cara untuk menghubungi antara satu sama lain selepas bencana terjadi. Ketika bencana terjadi anda mungkin terpisah daripada keluarga. Untuk memastikan bahawa ahli keluarga anda selamat, anda perlu menentukan cara untuk menghubungi antara satu sama lain agar dapat berkumpul semula.

 

Anda mungkin boleh menggunakan cara menghubungi rakan atau saudara di tempat lain sebagai penghubung kerana biasanya apabila bencana berlaku, membuat panggilan jauh adalah lebih mudah daripada panggilan di tempat bencana terjadi. Pastikan semua ahli keluarga anda mengetahui dan mengingati nombor telefon rakan atau saudara yang dimaksudkan.

 

Ketahui dan ingati alamat e-mel setiap ahli keluarga kerana ia juga merupakan alat perhubungan yang berkesan apabila terjadi bencana. Mungkin talian telefon terlalu sibuk setelah bencana terjadi.

 

Tetapkan dua tempat perjumpaan untuk berkumpul semula dengan ahli keluarga setelah bencana reda. Satu tempat yang berdekatan dengan rumah seperti rumah jiran dan satu tempat yang agak jauh seperti rumah kenalan di tempat lain.

 

Periksa perlindungan insurans anda. Pastikan polisi insurans melindungi rumah anda dengan jenis bencana yang melanda kawasan kediaman anda.

 

Sediakan jalan untuk keluar apabila bencana berlaku. Sediakan dua jalan keluar pada setiap bilik dan pastikan setiap ahli keluarga mengetahuinya.

 

Sediakan ruang selamat di dalam rumah anda. Apabila bencana berlaku, sesetengah tempat di dalam rumah anda lebih selamat daripada tempat yang lain. Sediakan bekalan untuk bencana di tempat itu. Pastikan semua ahli keluarga mengetahuinya. Jika bencana terlalu hebat, anda mungkin terpaksa mengosongkan rumah. Sediakan jalan keluar daripada tempat yang paling selamat di rumah anda supaya anda tidak terperangkap di dalamnya.

 

Pastikan ahli keluarga tahu untuk menutup suis utama bekalan elektrik, paip air dan gas. Apabila bencana berlaku, bahaya tidak datang setakat bencana itu sahaja. Ia boleh menyebabkan bahaya lain seperti kebakaran dan kebocoran gas.

 

Senaraikan nombor telefon kecemasan. Catatkan nombor telefon bomba, polis, ambulan, doktor, doktor gigi, farmasi, syarikat teksi dan syarikat pengendali kemudahan air, elektrik dan komunikasi. Tampalkannya berhampiran setiap telefon di rumah anda dan simpan di telefon bimbit anda. Senaraikan juga nombor perhubungan tempat kerja dan sekolah serta alamat e-mel orang yang akan dihubungi semasa kecemasan.

 

Kebakaran

 

Ø  Udara

 

Apabila berlaku kebakaran sesetengah gas akan naik ke atas dan yang lain berada di bawah. Udara yang paling baik berada di ketinggian 30cm hingga 60cm. Pastikan kepala anda berada di ketinggian tersebut.

 

Ø  Pintu

 

Periksa pintu sebelum membukanya untuk melarikan diri. Rasa pintu tersebut pada tombolnya. Jika ia sejuk dan tidak terdapat asap pada celahan pintu, ia selamat dibuka.

 

Ø  Jalan pilihan.

 

Jika anda terperangkap di tingkat atas rumah, bersedia untuk melompat keluar melalui tingkap atau balkoni. Jangan terus melompat kerana ia boleh menyebabkan kecederaan serius. Gunakan pakaian atau cadar sebagai tali dengan menyambungkannya dengan ikatan yang kuat. Turun dengan tali tersebut. Lebih panjang ia dibuat, lebih rendah jarak lompatan anda dan mengurangkan risiko kecederaan.

 

Ø  Dapatkan pertolongan.

 

Jika anda terperangkap di dalam bilik dan tidak dapat melompat keluar dengan selamat, tutup pintu dan sumbatkan celahan pintu dengan tuala atau pakaian terutama celahan di bahagian bawah untuk mengelakkan asap masuk ke dalam bilik. Buka tingkap dan jeritlah meminta pertolongan daripada jiran yang berhampiran. Lambaikan pakaian di tingkap. Jika ada telefon di bilik buatlah panggilan kecemasan.

 

Ø  Keluar cepat

 

Jika anda boleh keluar daripada rumah yang terbakar, lakukannya secepat mungkin. Jangan sibuk untuk menelefon bantuan kecemasan ketika masih berada di dalam rumah. Selamatkan diri anda terlebih dahulu. Jangan cuba menyelamatkan harta benda kerana anda mungkin terperangkap dalam kebakaran

 

Jika pakaian atau tubuh anda terbakar, jangan berlari tidak tentu arah. Sebaliknya baring ke tanah, tutup muka anda dan bergulinglah sehingga api terpadam.

 

Barangan Bekalan Kecemasan

 

Bencana boleh datang dengan cepat tanpa sebarang amaran. Oleh itu adalah baik bagi anda menyediakan barang-barang bekalan untuk kecemasan jika bencana berlaku pada kediaman anda. Kejadian bencana yang melanda persekitaran yang luas seperti banjir memerlukan anda menyediakan barang-barang bekalan kecemasan sekurang-kurangnya bahan asas untuk keluarga anda untuk beberapa ketika sehingga bantuan sampai.

 

Barang-barang bekalan kecemasan adalah seperti berikut: -

 

Ø  Air

 

Jika berlaku bencana alam, bekalan air mungkin terputus disebabkan pemotongan, paip bekalan air pecah atau air tercemar.

 

Untuk menghadapi keadaan ini, simpan kira-kira 4.5 liter air untuk setiap seorang ahli keluarga anda. Gunakan bekas air atau botol plastik kerana tidak mudah pecah atau bocor.

 

Gantikan bekalan air ini setiap enam bulan untuk memastikan ia bersih dan selamat untuk diminum.

 

Jika bencana berlaku, cuba dapatkan bekalan air tambahan supaya bekalan air yang ada tidak kehabisan bagi memastikan anda tidak kekurangan air.

 

Ø  Makanan

 

Simpan makanan yang tidak mudah rosak seperti makanan dalam tin dan biskut sekurang-kurangnya untuk keperluan tiga hari untuk setiap ahli keluarga anda. Masukkan sekali vitamin dan makanan tambahan. Sediakan bersama alatan memasak perkhemahan. Jangan lupa makanan untuk bayi anda. Gantikannya setiap enam bulan sekali bagi memastikan ia selamat dimakan. Periksa tarikh lupus makanan tersebut.

 

Ø  Peti Pertolongan Cemas

 

Ø  Peralatan

 

Pastikan anda bersedia sepenuhnya untuk menghadapi bencana. Sediakan pinggan mangkuk plastik, bateri untuk radio dan peralatan lain, lampu suluh, pisau lipat, pembuka tin dan botol, kompas, lampu isyarat kecemasan, kertas, pen, pensel, mancis di dalam bekas kalis air, wisel dan peta kawasan tersebut. Begitu juga dengan alatan kebersihan seperti tisu, sabun, alatan kebersihan peribadi, pembunuh kuman dan anti bakteria, plastik sampah dan alatan membasuh pakaian.

 

Ø  Pakaian dan kasut

 

Sediakan beberapa helai pakaian lengkap untuk keperluan beberapa hari untuk setiap ahli keluarga termasuk topi, pakaian dalam, sarung tangan, stoking dan selimut. Sediakan juga kasut yang tidak licin tapaknya, sandal dan selipar dan pakaian kalis air.

 

Ø  Dokumen penting.

 

Simpan dokumen penting seperti pasport, polisi insurans dan rekod perubatan di dalam bekas kalis air, kalis api dan mudah dibawa. Buat salinan setiap dokumen dan simpan pada kawan atau saudara yang dipercayai. Bawa bersama senarai nombor panggilan kecemasan bersama wang yang mencukupi untuk dua minggu.

 

Jika bencana berlaku dan pihak berkuasa tempatan menasihatkan anda untuk berada di rumah, dengar dan tonton siaran radio dan televisyen dan ikuti arahan rasmi pihak tersebut. Tutup dan kunci semua tingkap dan pintu dan halang tempat yang menyebabkan angin menyerbu masuk. Sentiasa bertenang. Periksa sebarang kecederaan dan berikan rawatan kecemasan.

 

Jangan gunakan panggilan kecemasan kecuali terlalu memerlukannya kerana pada saat sedemikian panggilan kecemasan terlalu sibuk.

 

Kosongkan rumah anda secepat mungkin jika dinasihatkan pihak berkuasa tempatan. Sebelum anda keluar mengosongkan rumah pastikan anda membawa: -

 

1.         Peralatan bayi secukupnya termasuk makanan, lampin, botol susu dan ubat-ubatan

2.         Peralatan tidur seperti selimut atau beg tidur.

3.         Lilin sekurang-kurangnya untuk 36 jam.

4.         Wang untuk keperluan selama dua minggu untuk anda dan semua ahli keluarga termasuk wang kecil.

5.         Pakaian sekurang-kurangnya sepersalinan untuk semua ahli keluarga termasuk kasut bertapak tidak licin dan jaket kalis air.

6.         Peralatan memasak dan makanan.

7.         Peti Pertolongan Cemas.

8.         Lampu suluh dan bateri tambahan.

9.         Telefon bimbit yang sudah dicas dan pengecas.

10.     Barang-barang peribadi seperti ubat-ubatan mengikut keperluan ahli keluarga anda

11.     Pisau lipat dan pembuka tin

12.     Radio mudah alih dan berkuasa bateri untuk anda mengikuti siaran radio dan mendengar status laporan rasmi bencana yang berlaku daripada pihak berkuasa tempatan

13.     Barang-barang kebersihan peribadi seperti sabun dan peralatan membasuh

14.     Air untuk keperluan setiap ahli keluarga bagi tiga hari sekurang-kurangnya

15.     Wisel untuk menarik perhatian bagi mendapatkan bantuan

 

 

Menolong Orang Lain

 

Apabila melihat kemalangan, anda mungkin berfikir mengelakkan diri daripada menolong kerana pelbagai alasan seperti boleh ditimpa kecederaan, menyebabkan perkara lebih buruk berlaku, bukan tanggungjawab anda dan tidak mahu terbabit dengan kemalangan itu. Dalam kejadian jenayah, polis mungkin mengesyaki anda terlibat. Semua itu adalah alasan yang munasabah untuk berhati-hati tetapi bukan untuk tidak mengendahkan mereka yang memerlukan pertolongan.

 

Mengikut undang-undang, anda tidak diwajibkan menolong orang lain yang terlibat dalam kemalangan. Apabila anda tidak berbuat sesuatu, anda tidak terlibat dalam masalah. Jika anda memilih untuk menolong bermakna anda mencuba untuk mengelakkan kemalangan lebih buruk berlaku atau menyelamatkan nyawa. Walau bagaimanapun anda mungkin boleh didakwa melakukan kecuaian jika sesuatu yang buruk berlaku.

 

Untuk itu anda perlu berhati-hati semasa menolong dan tidak melampaui batas undang-undang dan keupayaan tenaga anda. Jika anda memberikan rawatan kecemasan ikutlah garis panduan yang ditetapkan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah dan St. John Ambulance.

 

Bayangkan jika anda berada dalam kecemasan dan orang lain takut untuk membantu anda. Ia adalah satu masalah besar. Oleh itu cubalah untuk menolong orang yang dalam kecemasan sekadar yang termampu dan tidak membawa risiko terhadap kehidupan anda. Cara-caranya seperti di bawah.

 

q   Buat panggilan kecemasan kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab. Beritahu pihak tersebut apa yang sebenarnya terjadi, siapa yang terlibat dan lokasi yang betul.

 

q   Cari pekerja yang bertanggungjawab di tempat tersebut seperti pengawal keselamatan.

 

q   Menjerit meminta bantuan. Tarik perhatian ramai terhadap kemalangan tersebut.

 

q   Menjerit atau menyergah penjenayah yang cuba melakukan jenayah. Jarakkan diri anda daripada mereka dan ancam mereka dengan mengatakan anda telah menghubungi polis dan mereka akan sampai dalam masa terdekat. Tunjukkan mereka kamera litar tutup yang terdapat di situ dan mereka akan mengetahui perbuatan mereka sedang dirakam.

 

q   Tegur dan peringatkan orang lain. Jika anda melihat seseorang akan menghadapi masalah seperti sedang diintip penjenayah, hampiri mereka dan beritahu bahawa ada orang yang mencurigakan mengekori mereka.