Bersedia
Akibat keasyikan terhadap aktiviti-aktiviti harian, kita sering lupa memikirkan tahap keselamatan diri sendiri dan persekitaran. Kelalaian dan kecuaian tersebut sering mengakibatkan kemalangan dan kecelakaan berlaku tanpa kita bersedia menghadapinya. Risiko yang dihadapi adalah besar walaupun bermula dengan kecuaian yang kecil. Jenayah dan kemalangan dapat dielakkan jika kita mengambil sikap berhati-hati dan prihatin terhadap keselamatan diri dan persekitaran.
Untuk itu anda perlu memikirkan dan menjangka segala risiko yang mungkin terjadi terhadap segala aktiviti harian anda. Fikirkan cara untuk menghindarinya.
Sediakan pelbagai alternatif terhadap cara tersebut untuk mengelakkan anda buntu jika tidak berjaya mengelakkan risiko dengan cara tersebut.
Rasakan tanda-tanda bahaya yang memberikan amaran bahawa anda dalam keadaan tidak selamat seperti nada suara dan ekspresi wajah seseorang yang anda hadapi. Naluri membantu anda untuk bertidak balas terhadap bahaya dan kekal selamat. Walaupun tindak balas anda terhadap tanda-tanda bahaya ini mungkin berlawanan dengan kebiasaan bersosial, anda perlu lebih percaya kepada naluri dan bertindak berpandukannya. Sikap berterus terang boleh menyelamatkan anda dan sentiasa bersedia untuk mengambil tindakan yang sepatutnya.
Ketakutan boleh menyebabkan tindak balas negatif ketika berada dalam keadaan bahaya. Lemah, kaku, kelu, termuntah, terkencing adalah tindak balas di luar kawalan yang sering terjadi. Namun jika anda sentiasa bersedia untuk ketakutan, reaksi negatif seperti itu mungkin dapat dielakkan dan anda akan kelihatan yakin dan tenang.
Ambil ingatan, tiada siapa boleh memberikan panduan yang tepat tentang tindakan yang perlu dilakukan ketika berada dalam keadaan bahaya kerana setiap keadaan bahaya itu berbeza dan tahap kesiagaan setiap individu itu berlainan. Pada ketika ini naluri anda untuk kekal selamat timbul. Percayalah pada naluri anda dan bertindaklah mengikut lintasan hati anda itu. Secara asasnya anda perlu bertindak mengikut langkah berikut: -
1. Perhatikan keadaan persekitaran anda.
Gunakan seluruh deria anda untuk mengenal pasti perkara yang telah terjadi dan risiko berterusan yang anda dan orang lain alami. Bertindaklah dengan pantas.
2. Jadikan ia selamat.
Jika anda merasakan ada bahaya yang berterusan bakal berlaku akibat perkara itu, anda perlu mengambil langkah mengelakkan bahaya tersebut terlebih dahulu sebelum melakukan perkara lain.
Contohnya apabila kenderaan anda mengalami kerosakan ketika di perjalanan, anda perlu menyalakan lampu isyarat kecemasan walaupun enjin tidak berfungsi kerana ada risiko pemandu kenderaan lain tidak menyedari kenderaan anda lalu melanggarnya.
3. Dapatkan pertolongan secepat mungkin
Jika kenderaan anda rosak dalam perjalanan, anda memerlukan pertolongan sama ada daripada perkhidmatan kecemasan atau pemandu kenderaan yang lalu lalang. Jika anda diserang penjenayah, menjeritlah meminta bantuan. Jeritan anda boleh menakutkan penjenayah dan menghadirkan bantuan untuk anda.
4. Gunakan rawatan kecemasan.
Jika seseorang dalam kecederaan berat, berikan rawatan kecemasan yang anda tahu secepat mungkin.
5. Percayai diri anda mampu membuat keputusan yang betul.
Ia berdasarkan pemerhatian deria terhadap situasi, naluri kebiasaan, pengetahuan yang terdahulu dan nasihat yang pernah didengar atau dibaca.
Pelan Kecemasan
Ambil perhatian terhadap pelan kecemasan yang disediakan di tempat kerja, sekolah, pusat jagaan kanak-kanak dan tempat-tempat lain yang anda kunjungi. Sikap mengambil tahu akan perkara ini memudahkan anda menyelamatkan diri jika berlaku bencana yang tidak diingini. Seterusnya anda akan lebih tenang menghadapi bencana itu dengan pengetahuan anda terhadap langkah keselamatan yang perlu diambil.
Merancang pelan kecemasan keluarga
Luangkan masa anda untuk berbincang bersama keluarga tentang kecemasan dan bencana yang mungkin dialami dan kepentingan merancang pelan untuk menghadapinya.
Antara perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah cara untuk menghubungi antara satu sama lain selepas bencana terjadi. Ketika bencana terjadi anda mungkin terpisah daripada keluarga. Untuk memastikan bahawa ahli keluarga anda selamat, anda perlu menentukan cara untuk menghubungi antara satu sama lain agar dapat berkumpul semula.
Anda mungkin boleh menggunakan cara menghubungi rakan atau saudara di tempat lain sebagai penghubung kerana biasanya apabila bencana berlaku, membuat panggilan jauh adalah lebih mudah daripada panggilan di tempat bencana terjadi. Pastikan semua ahli keluarga anda mengetahui dan mengingati nombor telefon rakan atau saudara yang dimaksudkan.
Ketahui dan ingati alamat e-mel setiap ahli keluarga kerana ia juga merupakan alat perhubungan yang berkesan apabila terjadi bencana. Mungkin talian telefon terlalu sibuk setelah bencana terjadi.
Tetapkan dua tempat perjumpaan untuk berkumpul semula dengan ahli keluarga setelah bencana reda. Satu tempat yang berdekatan dengan rumah seperti rumah jiran dan satu tempat yang agak jauh seperti rumah kenalan di tempat lain.
Periksa perlindungan insurans anda. Pastikan polisi insurans melindungi rumah anda dengan jenis bencana yang melanda kawasan kediaman anda.
Sediakan jalan untuk keluar apabila bencana berlaku. Sediakan dua jalan keluar pada setiap bilik dan pastikan setiap ahli keluarga mengetahuinya.
Sediakan ruang selamat di dalam rumah anda. Apabila bencana berlaku, sesetengah tempat di dalam rumah anda lebih selamat daripada tempat yang lain. Sediakan bekalan untuk bencana di tempat itu. Pastikan semua ahli keluarga mengetahuinya. Jika bencana terlalu hebat, anda mungkin terpaksa mengosongkan rumah. Sediakan jalan keluar daripada tempat yang paling selamat di rumah anda supaya anda tidak terperangkap di dalamnya.
Pastikan ahli keluarga tahu untuk menutup suis utama bekalan elektrik, paip air dan gas. Apabila bencana berlaku, bahaya tidak datang setakat bencana itu sahaja. Ia boleh menyebabkan bahaya lain seperti kebakaran dan kebocoran gas.
Senaraikan nombor telefon kecemasan. Catatkan nombor telefon bomba, polis, ambulan, doktor, doktor gigi, farmasi, syarikat teksi dan syarikat pengendali kemudahan air, elektrik dan komunikasi. Tampalkannya berhampiran setiap telefon di rumah anda dan simpan di telefon bimbit anda. Senaraikan juga nombor perhubungan tempat kerja dan sekolah serta alamat e-mel orang yang akan dihubungi semasa kecemasan.
Kebakaran
Ø Udara
Apabila berlaku kebakaran sesetengah gas akan naik ke atas dan yang lain berada di bawah. Udara yang paling baik berada di ketinggian 30cm hingga 60cm. Pastikan kepala anda berada di ketinggian tersebut.
Ø Pintu
Periksa pintu sebelum membukanya untuk melarikan diri. Rasa pintu tersebut pada tombolnya. Jika ia sejuk dan tidak terdapat asap pada celahan pintu, ia selamat dibuka.
Ø Jalan pilihan.
Jika anda terperangkap di tingkat atas rumah, bersedia untuk melompat keluar melalui tingkap atau balkoni. Jangan terus melompat kerana ia boleh menyebabkan kecederaan serius. Gunakan pakaian atau cadar sebagai tali dengan menyambungkannya dengan ikatan yang kuat. Turun dengan tali tersebut. Lebih panjang ia dibuat, lebih rendah jarak lompatan anda dan mengurangkan risiko kecederaan.
Ø Dapatkan pertolongan.
Jika anda terperangkap di dalam bilik dan tidak dapat melompat keluar dengan selamat, tutup pintu dan sumbatkan celahan pintu dengan tuala atau pakaian terutama celahan di bahagian bawah untuk mengelakkan asap masuk ke dalam bilik. Buka tingkap dan jeritlah meminta pertolongan daripada jiran yang berhampiran. Lambaikan pakaian di tingkap. Jika ada telefon di bilik buatlah panggilan kecemasan.
Ø Keluar cepat
Jika anda boleh keluar daripada rumah yang terbakar, lakukannya secepat mungkin. Jangan sibuk untuk menelefon bantuan kecemasan ketika masih berada di dalam rumah. Selamatkan diri anda terlebih dahulu. Jangan cuba menyelamatkan harta benda kerana anda mungkin terperangkap dalam kebakaran
Jika pakaian atau tubuh anda terbakar, jangan berlari tidak tentu arah. Sebaliknya baring ke tanah, tutup muka anda dan bergulinglah sehingga api terpadam.
Barangan Bekalan Kecemasan
Bencana boleh datang dengan cepat tanpa sebarang amaran. Oleh itu adalah baik bagi anda menyediakan barang-barang bekalan untuk kecemasan jika bencana berlaku pada kediaman anda. Kejadian bencana yang melanda persekitaran yang luas seperti banjir memerlukan anda menyediakan barang-barang bekalan kecemasan sekurang-kurangnya bahan asas untuk keluarga anda untuk beberapa ketika sehingga bantuan sampai.
Barang-barang bekalan kecemasan adalah seperti berikut: -
Ø Air
Jika berlaku bencana alam, bekalan air mungkin terputus disebabkan pemotongan, paip bekalan air pecah atau air tercemar.
Untuk menghadapi keadaan ini, simpan kira-kira 4.5 liter air untuk setiap seorang ahli keluarga anda. Gunakan bekas air atau botol plastik kerana tidak mudah pecah atau bocor.
Gantikan bekalan air ini setiap enam bulan untuk memastikan ia bersih dan selamat untuk diminum.
Jika bencana berlaku, cuba dapatkan bekalan air tambahan supaya bekalan air yang ada tidak kehabisan bagi memastikan anda tidak kekurangan air.
Ø Makanan
Simpan makanan yang tidak mudah rosak seperti makanan dalam tin dan biskut sekurang-kurangnya untuk keperluan tiga hari untuk setiap ahli keluarga anda. Masukkan sekali vitamin dan makanan tambahan. Sediakan bersama alatan memasak perkhemahan. Jangan lupa makanan untuk bayi anda. Gantikannya setiap enam bulan sekali bagi memastikan ia selamat dimakan. Periksa tarikh lupus makanan tersebut.
Ø Peti Pertolongan Cemas
Ø Peralatan
Pastikan anda bersedia sepenuhnya untuk menghadapi bencana. Sediakan pinggan mangkuk plastik, bateri untuk radio dan peralatan lain, lampu suluh, pisau lipat, pembuka tin dan botol, kompas, lampu isyarat kecemasan, kertas, pen, pensel, mancis di dalam bekas kalis air, wisel dan peta kawasan tersebut. Begitu juga dengan alatan kebersihan seperti tisu, sabun, alatan kebersihan peribadi, pembunuh kuman dan anti bakteria, plastik sampah dan alatan membasuh pakaian.
Ø Pakaian dan kasut
Sediakan beberapa helai pakaian lengkap untuk keperluan beberapa hari untuk setiap ahli keluarga termasuk topi, pakaian dalam, sarung tangan, stoking dan selimut. Sediakan juga kasut yang tidak licin tapaknya, sandal dan selipar dan pakaian kalis air.
Ø Dokumen penting.
Simpan dokumen penting seperti pasport, polisi insurans dan rekod perubatan di dalam bekas kalis air, kalis api dan mudah dibawa. Buat salinan setiap dokumen dan simpan pada kawan atau saudara yang dipercayai. Bawa bersama senarai nombor panggilan kecemasan bersama wang yang mencukupi untuk dua minggu.
Jika bencana berlaku dan pihak berkuasa tempatan menasihatkan anda untuk berada di rumah, dengar dan tonton siaran radio dan televisyen dan ikuti arahan rasmi pihak tersebut. Tutup dan kunci semua tingkap dan pintu dan halang tempat yang menyebabkan angin menyerbu masuk. Sentiasa bertenang. Periksa sebarang kecederaan dan berikan rawatan kecemasan.
Jangan gunakan panggilan kecemasan kecuali terlalu memerlukannya kerana pada saat sedemikian panggilan kecemasan terlalu sibuk.
Kosongkan rumah anda secepat mungkin jika dinasihatkan pihak berkuasa tempatan. Sebelum anda keluar mengosongkan rumah pastikan anda membawa: -
1. Peralatan bayi secukupnya termasuk makanan, lampin, botol susu dan ubat-ubatan
2. Peralatan tidur seperti selimut atau beg tidur.
3. Lilin sekurang-kurangnya untuk 36 jam.
4. Wang untuk keperluan selama dua minggu untuk anda dan semua ahli keluarga termasuk wang kecil.
5. Pakaian sekurang-kurangnya sepersalinan untuk semua ahli keluarga termasuk kasut bertapak tidak licin dan jaket kalis air.
6. Peralatan memasak dan makanan.
7. Peti Pertolongan Cemas.
8. Lampu suluh dan bateri tambahan.
9. Telefon bimbit yang sudah dicas dan pengecas.
10. Barang-barang peribadi seperti ubat-ubatan mengikut keperluan ahli keluarga anda
11. Pisau lipat dan pembuka tin
12. Radio mudah alih dan berkuasa bateri untuk anda mengikuti siaran radio dan mendengar status laporan rasmi bencana yang berlaku daripada pihak berkuasa tempatan
13. Barang-barang kebersihan peribadi seperti sabun dan peralatan membasuh
14. Air untuk keperluan setiap ahli keluarga bagi tiga hari sekurang-kurangnya
15. Wisel untuk menarik perhatian bagi mendapatkan bantuan
Menolong Orang Lain
Apabila melihat kemalangan, anda mungkin berfikir mengelakkan diri daripada menolong kerana pelbagai alasan seperti boleh ditimpa kecederaan, menyebabkan perkara lebih buruk berlaku, bukan tanggungjawab anda dan tidak mahu terbabit dengan kemalangan itu. Dalam kejadian jenayah, polis mungkin mengesyaki anda terlibat. Semua itu adalah alasan yang munasabah untuk berhati-hati tetapi bukan untuk tidak mengendahkan mereka yang memerlukan pertolongan.
Mengikut undang-undang, anda tidak diwajibkan menolong orang lain yang terlibat dalam kemalangan. Apabila anda tidak berbuat sesuatu, anda tidak terlibat dalam masalah. Jika anda memilih untuk menolong bermakna anda mencuba untuk mengelakkan kemalangan lebih buruk berlaku atau menyelamatkan nyawa. Walau bagaimanapun anda mungkin boleh didakwa melakukan kecuaian jika sesuatu yang buruk berlaku.
Untuk itu anda perlu berhati-hati semasa menolong dan tidak melampaui batas undang-undang dan keupayaan tenaga anda. Jika anda memberikan rawatan kecemasan ikutlah garis panduan yang ditetapkan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah dan St. John Ambulance.
Bayangkan jika anda berada dalam kecemasan dan orang lain takut untuk membantu anda. Ia adalah satu masalah besar. Oleh itu cubalah untuk menolong orang yang dalam kecemasan sekadar yang termampu dan tidak membawa risiko terhadap kehidupan anda. Cara-caranya seperti di bawah.
q Buat panggilan kecemasan kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab. Beritahu pihak tersebut apa yang sebenarnya terjadi, siapa yang terlibat dan lokasi yang betul.
q Cari pekerja yang bertanggungjawab di tempat tersebut seperti pengawal keselamatan.
q Menjerit meminta bantuan. Tarik perhatian ramai terhadap kemalangan tersebut.
q Menjerit atau menyergah penjenayah yang cuba melakukan jenayah. Jarakkan diri anda daripada mereka dan ancam mereka dengan mengatakan anda telah menghubungi polis dan mereka akan sampai dalam masa terdekat. Tunjukkan mereka kamera litar tutup yang terdapat di situ dan mereka akan mengetahui perbuatan mereka sedang dirakam.
q Tegur dan peringatkan orang lain. Jika anda melihat seseorang akan menghadapi masalah seperti sedang diintip penjenayah, hampiri mereka dan beritahu bahawa ada orang yang mencurigakan mengekori mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan