Bilakah kali terakhir anda mengungkapkan perkataan “berhati-hati”? Kita sering mengucapkannya untuk mengingatkan ahli keluarga dan rakan-rakan tentang peri pentingnya keselamatan. Adakah kita pernah terfikir langkah-langkah untuk mengekalkan keselamatan?
Tiada insan yang suka keselamatannya terancam. Semua orang mahu selamat kerana ia antara penyebab kehidupan menjadi tenang dan aman. Namun ramai orang sering lalai dalam memikirkan langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengekalkan keselamatan diri, ahli keluarga dan harta benda.
Persoalan tentang keselamatan hanya akan hangat dibincangkan setelah kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Sering kali timbul sikap saling menyalahkan antara satu sama lain apabila persoalan ini diperdebatkan tanpa menyedari kelalaian sendiri menjadi punca utama keselamatan terancam. Pihak-pihak yang bertanggungjawab terhadap keselamatan sering menjadi sasaran tuduhan tidak melaksanakan kewajipan yang diamanahkan. Lebih malang lagi apabila isu tersebut reda, ahli masyarakat kembali kepada sikap mengabaikan keselamatan.
Kecuaian diri, bencana alam dan jenayah adalah antara punca yang menyebabkan keselamatan terancam. Persediaan untuk mengelakkan atau menghadapinya adalah sangat penting difikirkan.
Kecuaian diri menjadi faktor terbesar berlakunya kemalangan. Sikap mengabaikan keselamatan sewaktu menjalankan aktiviti harian sering menghasilkan kemudaratan yang sebenarnya boleh dielakkan. Sikap tidak mengambil endah tentang keselamatan terutama ketika situasi yang biasa dialami boleh mengakibatkan penyesalan seumur hidup.
Bencana alam adalah perkara mengancam keselamatan yang berlaku di luar kawalan manusia. Bencana alam bukan sekadar membawa kemusnahan pada waktu ia melanda sahaja bahkan sering disusuli dengan kesan-kesan buruk seperti penyakit dan kebuluran selepasnya. Persediaan menghadapi bencana alam dapat mengurangkan risiko kemalangan jiwa dan harta benda.
Buku ini lebih menitikberatkan persoalan jenayah. Ia berkait secara langsung dan tidak langsung dengan hubungan sesama manusia. Jenayah boleh berlaku tidak mengira tempat dan masa. Dalam unit sekecil keluarga hinggalah sebesar negara, jenayah tetap mengambil bahagian sebagai elemen warisan dalam sejarah peradaban manusia di dunia. Apabila kita menyelak akhbar harian ternyata dunia ini tidak pernah sunyi daripada jenayah. Bersediakah kita untuk menghadapinya.
BERSEDIA UNTUK SELAMAT ditulis bukanlah bertujuan mengajar masyarakat tentang cara-cara yang tepat untuk mengekalkan keselamatan. Sebaliknya harapan penulis ia menjadi pencetus untuk masyarakat memikirkan dan bertindak mengambil langkah-langkah positif yang bersesuaian dengan masa dan keadaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan