Selasa, 1 September 2009

ANAK-ANAK

Pusat Penjagaan Kanak-Kanak

 

Apabila anda memilih untuk meletakkan anak-anak anda di pusat penjagaan kanak-kanak ketika anda bekerja, perkara-perkara di bawah perlu anda selidiki:-

 

Keadaan kanak-kanak yang dijaga di situ. Adakah kanak-kanak di situ bersikap ceria dan dijaga dengan baik?

 

Keadaan pekerja yang melakukan tugas. Adakah pusat itu mempunyai kakitangan yang cukup untuk menjaga semua kanak-kanak yang dihantar ke situ. Adakah pekerja-pekerja itu bersikap mesra dan selesa dengan kanak-kanak? Apakah bentuk disiplin yang diamalkan pekerja-pekerja terhadap kanak-kanak di bawah jagaan mereka?

 

Kebersihan pusat penjagaan kanak-kanak tersebut. Adakah kebersihan persekitaran dan sikap mementingkan kebersihan diambil berat oleh para pekerja? Perhatikan cara para pekerja di situ melaksanakan tugas mereka.

 

Periksa makanan dan minuman yang diberikan kepada kanak-kanak di situ. Pastikan makanan yang diberikan berkhasiat dan membantu tumbesaran kanak-kanak. Terdapat kes pusat penjagaan kanak-kanak meletakkan ubat tidur ke dalam susu kanak-kanak untuk menidurkan mereka.

 

Pastikan kemudahan-kemudahan tersebut dalam keadaan baik dan tidak memudaratkan kanak-kanak. Kemudahan-kemudahan yang disediakan seperti perabot, taman permainan dan alat-alat permainan.

 

Pembantu Rumah

 

Apabila anda mengambil pembantu rumah,

 

Pastikan calon yang diambil berpengetahuan dan memahami pengendalian kanak-kanak. Pastikan dia mesra dan selesa dengan anak-anak anda. Semak rekodnya dan pastikan dia memiliki rekod yang baik dalam pekerjaannya. Pastikan dia mampu membuat kerja-kerja rumah dan menguruskan rumah anda dengan baik dan teratur.

 

Layan pembantu rumah anda dengan layanan yang sepatutnya. Jangan menekan dan bertoleransilah dengannya. Anggap dia seperti keluarga anda sendiri. Beri gaji yang berpatutan dengan kerja-kerjanya membantu pengurusan rumah anda.

 

Berikan pembantu rumah:

 

Ø  Nama penuh, jawatan, alamat pejabat, dan nombor telefon bimbit anda supaya dia boleh menghubungi anda jika berlaku kecemasan di rumah

Ø  Alamat penuh rumah dan nombor telefon rumah anda supaya dia dapat memberikan lokasi yang tepat ketika menghubungi bantuan kecemasan jika terjadi kemalangan di rumah anda.

 

Ø  Nama anak-anak anda dan maklumat kesihatan mereka serta penyakit dan alahan supaya dia dapat menyediakan makanan yang tidak memudaratkan kesihatan anak-anak anda dan mengawasi mereka daripada melakukan aktiviti yang mungkin menjejaskan kesihatan. Selain itu, ia memantu pembantu rumah anda bertindak cepat apabila sesuatu perkara erlaku kepada anak-anak anda tanpa perlu menunggu anda pulang terlebih dahulu.

 

Ø  Senarai nombor telefon penting yang perlu dihubungi jika berlaku kecemasan

 

Ø  Segala maklumat dan peraturan yang perlu dipatuhi di rumah anda. Terangkan dengan jelas segala maklumat dan arahan yang diberikan.

 

Anak-anak

 

Bincang isu keselamatan dengan anak-anak anda apabila mereka boleh memahami situasi bahaya yang mungkin mereka hadapi. Beritahu merekacara-cara menghadapi situasi bahaya satu persatu dan terangkan mengapa mereka perlu melakukannya. Tunjukkan cara menghadapi kecemasan seperti kebakaran atau kemalangan dan agaimana cara untuk mereka menghubungi anda

 

Beritahu anak-anak anda, jangan benarkan sesiapa menyentuh bahagian peribadi tubuh mereka. Beritahu mereka jika perkara ini berlaku mereka perlu memberitahu anda atau orang dewasa yang mereka percayai seperti guru.

 

Berterus terang dengan mereka secara bijak dan mengikut kesesuaian umur mereka. Jangan mengelakkan diri daripada berbincang tentang perkara keselamatan diri mereka. Mereka perlu tahu menjaga keselamatan diri mereka sendiri kerana anda tidak mampu mengawasi anak-anak anda sepanjang masa. Anda boleh menggunakan berita di televisyen atau akhbar sebagai pemula kepada perbincangan. Cara ini memudahkan mereka menerima dan memahami tujuan perbincangan. Pastikan mereka berada dalam keadaan tenang dan selesa semasa perbincangan. Apabila anda manda memulakan perbincangan, dengar dengan prihatin dan beri tumpuan kepada perkara yang mereka ajukan kepada anda.

 

Bimbing mereka untuk tenang menghadapi masalah dan mengambil tindakan yang munasabah. Bimbing mereka menghormati dan memahami perasaan orang lain. Beritahu mereka tindakan yang ganas tidak menyelesaikan masalah sebaliknya menambahnya. Mereka perlu menghadapi masalah dan menyelesaikannya dengan baik. Terangkan pilihan yang ada untuk menyelesaikan masalah dan bimbing mereka untuk memilih penyelesaian yang terbaik.

 

Anda perlu menjadi teladan yang baik untuk anak-anak anda. Anak-anak anda melihat dan mencontohi ibu bapa, guru dan orang-orang dewasa di sekeliling mereka. Anda perlu memberikan contoh-contoh yang baik daripada diri anda sendiri dalam mendidik anak-anak anda. Beri sebab-sebab yang munasabah pada pemikiran mereka dalam mendisiplinkan anak-anak anda. jangan menggunakan hukuman fizikal jika tidak perlu dan elakkan hukuman fizikal yang keterlaluan. Timbangkan hukuman yang tidak menyentuh fizikal seperti menghadkan penggunaan televisyen atau menghadkan wang belanja mereka.

 

Awasi siaran televisyen yang ditontoni anak-anak anda. Jangan biarkan mereka menonton ranangan yang memberikan mesej negatif kepada mereka. Awasi penggunaan komputer dan internet anak-anak anda. Pastikan mereka menggunakan televisyen dan komputer dengan perkara yang berfaedah mengikut kesesuaian umur mereka. Anda boleh menggunakan cara membenarkan mereka menonton atau menggunakan internet ketika ada orang dewasa yang bertanggungjawab mengawasi mereka sahaja.

 

Rumah

 

Kanak-kanak sering menjadi mangsa kemalangan yang terjadi di rumah sendiri akibat kelalaian ibu bapa yang kurang prihatin terhadap langkah keselamatan di rumah dan keselamatan peralatan rumah. Perhatikan perkara berikut.

 

1.         Pastikan keselamatan di tingkap.

 

Tutup dan kunci tingkap yang boleh dicapai dan dipanjat oleh kanak-kanak. Kanak-kanak terdorong oleh sifat ingin tahu mereka akan cuba memanjat dan membuka tingkap seterusnya melompat atau terjun melalui tingkap tersebut keluar untuk membebaskan diri mereka.

 

2.         Jangan benarkan anak-anak anda bermain di tangga.

 

Tangga merupakan tempat yang berbahaya untuk kanak-kanak kerana boleh menyebabkan mereka terjatuh dan mengalami kecederaan parah. Bersihkan dan kosongkan tangga daripada barangan dan pastikan ia tidak licin yang boleh menyebabkan anak-anak anda tergelincir. Pasang pagar untuk memastikan anak-anak anda tidak bermain di tangga.

 

3.         Pastikan dapur anda selamat.

 

Simpan peralatan tajam dan membahayakan di tempat yang tersembunyi supaya kanak-kanak tidak boleh menjumpainya. Pastikan benda yang panas dan mudah pecah terletak jauh daripada sisi permukaan tempat memasak anda supaya kanak-kanak tidak boleh mencapai dan menariknya. Jangan pasang alas permukaan tempat memasak yang boleh ditarik oleh kanak-kanak.

 

4.         Pastikan peralatan eletrik berada dalam keadaan selamat.

 

Letakkan peralatan eletrik di tempat yang terlindung dan selamat. Pastikan wayar kabel dan plug penyambung tidak terdedah untuk dicapai kanak-kanak. Pastikan suis peralatan eletrik dimatikan jika tidak digunakan

 

5.         Pastikan lantai tidak licin.

 

Lantai yang licin boleh menyebabkan kanak-kanak tergelincir. Jangan menggunakan penggilap lantai berlebihan yang boleh menyebabkan lantai rumah anda licin. Pastikan wayar dan kabel disematkan dengan baik dan tidak berselirat.

 

6.         Pastikan perabot rumah anda selamat.

 

Periksa kekukuhan dan kestabilan perabot rumah anda. Pastikan ia tidak reput dan tidak mudah jatuh apabila dipanjat oleh anak-anak anda.

 

7.         Periksa tahap kepanasan air.

 

Pastikan alat pemanas air di bilik air rumah anda tidak melebihi 49°C untuk mengelakkan tubuh kanak-kanak melecur.

 

8.         Simpan barang-barang yang bahaya di tempat yang selamat.

 

Jauhkan barang-barang yang mudah ditelan seperti duit syiling dan butang baju daripada jangkauan kanak-kanak. Jangan benarkan mereka bermain-main dengan beg plastik atau pembungkus.

 

9.         Tinggikan benda-benda yang tergantung daripada jangkauan anak-anak.

 

Ikat langsir dan tinggikan tirai dan elakkan anak-anak yang menganggapnya sebagai barang permainan dan bermain dengannya.

 

10.       Simpan ubat-ubatan di tempat yang tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak.

 

Kanak-kanak berisiko tinggi untuk menelan ubat-ubatan yang dijumpai dan boleh menyebabkan mereka keracunan.

 

11.      Pastikan alat-alat permainan kanak-kanak selamat.

 

Pastikan alat-alat permainan kanak-kanak di rumah anda menepati tahap keselamatan yang ditetapkan. Pastikan anda membaca manual penggunaannya dan mengikutinya. Pastikan ia tidak membahayakan anak-anak anda.

 

Penderaan

 

Untuk meminta kanak-kanak melaporkan penderaan orang dewasa terhadap mereka adalah satu perkara yang agak rumit. Anda perlu memberi galakan dan sokongan supaya mereka menceritakannya kepada anda. Jangan memaksa. Ini disebabkan mereka menghadapi tekanan dan ugutan daripada pihak pendera untuk menyembunyikannya daripada pengetahuan orang lain.

 

Beri galakan supaya mereka menceritakannya, beri jaminan bahawa anda tidak memarahinya dan berjanji bahawa anda akan melindungi mereka dan tidak memberitahu orang lain. Jika mereka tetap tidak mahu memberitahu anda tetapi menunjukkan tanda-tanda bahawa sesuatu yang tidak diingini berlaku, beri galakan supaya mereka menceritakannya kepada ahli keluarga lain yang lebih mereka percayai.

 

            Jika mereka mahu memberitahu anda, perhatikan langkah-langkah ini:

 

1.         Dengar dengan teliti cerita mereka.

 

Berikan mereka masa dan ruang secukupnya untuk mereka memperincikan cerita. Jangan ajukan soalan yang tertutup seperti “Adakah dia memukul awak?” sebaliknya berikan soalan yang terbuka dan menggalakkan mereka bercerita perkara yang terjadi seperti “Apa yang dilakukannya”.

 

2.         Sentiasa tenang.

 

Walau apapun yang anda dengar daripada cerita kanak-kanak tersebut, anda perlu bersikap tenang, tunjukkan rasa simpati kepadanya dan anda mempercayai ceritanya. Jangan sesekali anda menyampuk atau mengganggu penceritaannya.

 

3.         Puji kanak-kanak tersebut.

 

 Katakan bahawa tindakannya menceritakan hal yang berlaku terhadapnya kepada anda adalah betul dan berani. Pastikan kanak-kanak tersebut tidak berasa bersalah dalam menceritakan rahsia dan jelaskan bahawa pendera itu memang bersalah.

 

4.         Cuba buat kanak-kanak tersebut berasa selamat bersama anda

 

Katakan kepadanya bahawa anda akan mendapatkan bantuan untuknya dan memberhentikan penderaan daripada berulang kembali.

 

Buli

 

Lakukan cara-cara yang disebutkan seperti dalam perkara penderaan untuk mendapatkan cerita daripada anak-anak anda tentang pembulian yang dialami di sekolah.

 

Beritahu dan adukan kepada pihak sekolah secepat mungkin. Minta nasihat dan pandangan daripada guru sekolah. Minta aduan anda direkodkan.

 

Jika pembulian berterusan dan tidak mendapat reaksi balas pihak sekolah, buat laporan bertulis kepada pengetua dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru.

 

Tanda-tanda pembulian berlaku yang boleh anda perhatikan secara zahir: -

 

-             Kanak-kanak tidak mahu ke sekolah. Berpura-pura sakit, cuba ponteng sekolah atau berkeras jika dipaksa ke sekolah

 

-             Prestasi pelajarannya merosot. Hilang penumpuan dalam pelajaran.

 

-             Tersisih daripada rakan-rakan baiknya yang mungkin tidak mahu bergaul dengan mangsa buli kerana takut terlibat sama.

 

-             Menjadi pemurung dan mengalami tekanan perasaan yang hebat.

 

-             Mengalami rendah keyakinan diri dan kurang bermotivasi. Terlalu mengurung diri di rumah dan apabila ditanya tentang perlakuan dan sikapnya, enggan bercakap.

 

-             Pakaian,beg dan peralatan sekolahnya sering rosak atau hilang.

 

-             Mengalami kecederaan yang disebabkan pukulan 

 

Kenalpasti

 

Simpan gambar terbaru setiap ahli keluarga anda untuk membantu pencarian dan siasatan pihak polis jika mereka hilang

 

Simpan contoh pengenalan DNA. Gunakan kapas pengorek telinga (cotton bud), sapukan di pipi anak-anak anda. Simpan contoh itu di dalam plastik yang dilabelkan dengan nama mereka. Letakkan di peti sejuk.

 

Simpan contoh darah anak-anak anda di dalam plastik yang dilabelkan dengan nama mereka. Letakkan di peti sejuk.

 

Jalanan

 

Kanak-kanak cepat belajar dan memahami sesuatu perkara yang bersesuaian dengan umur mereka. Oleh itu mulakan perbincangan mengenai berhati-hati dengan orang yang tidak dikenali seawal usia mereka mula memahami keadaan sekeliling. Pastikan mereka memahami perbincangan yang dilakukan adalah untuk keselamatan mereka.

 

            Ajar anak-anak anda:

 

1.         Berkomunikasi dengan anda.

 

Jelaskan mengapa anda perlu mengetahui ke mana mereka pergi, bersama siapa mereka bergaul dan bila mereka akan balik.

 

2.         Mencari pertolongan ketika tersesat atau hilang.

 

Beritahu mereka apa yang perlu dilakukan jika mereka terpisah daripada anda. Mereka boleh mendapatkan bantuan daripada pihak polis, pengawal keselamatan atau penjaga kedai yang berhampiran.

 

3.         Membuat panggilan telefon kepada anda, saudara terdekat dan pihak polis.

 

Anda boleh mempertimbangkan untuk memberi anak anda telefon bimbit bagi membolehkan anda menghubunginya pada bila-bila masa. Sediakan senarai nombor telefon yang patut dihubungi oleh anak anda jika mereka tidak dapat menghubungi anda. Berikan kepada anak anda dan minta mereka membawanya ke mana sahaja.  

 

4.         Berkata tidak pada keadaan yang sepatutnya.

 

Beritahu mereka keadaan-keadaan yang mereka boleh berkata tidak pada permintaan orang dewasa terutama pada perkara-perkara yang difikirkan salah dan membahayakan keselamatan mereka seperti menyentuh atau mengambil gambar bahagian peribadi dan sulit tubuh mereka.

 

5.         Buat latihan melepaskan diri daripada diculik.

 

Berbincang dengan anak anda dan buat latihan untuk memberi gambaran bagaimana situasi jenayah berlaku supaya mereka boleh memahaminya. Berikan mereka peluang untuk berfikir dan tanyakan bagaimana mereka akan bertindak balas. Berikan pujian bagi pemikiran yang bagus dan berikan cadangan tambahan. Beritahu mereka bahawa mereka perlu menjauhi orang yang tidak dikenali dan melarikan diri untuk mencari bantuan jika mengesyaki seseorang cuba untuk melakukan jenayah terhadap mereka. Terangkan kepada mereka jika mereka mengesyaki jenayah mahu dilakukan, mereka perlu mencari orang yang yang mereka percayai atau polis untuk melaporkan kejadian tersebut. Terangkan juga bahawa mereka boleh meletakkan beg yang berat untuk memudahkan mereka melarikan diri mencari bantuan. Beri latihan beladiri untuk anak-anak anda.

 

6.         Anda perlu mengetahui kawan-kawan anak anda.

 

Kenali mereka dan simpan rekod terkini alamat dan nombor telefon mereka.

 

7.         Susuri jalan yang digunakan oleh anak-anak anda.

 

Sama ada untuk ke sekolah, rumah kawan, tempat permainan, kenali tempat-tempat yang mencurigakan akan berlaku jenayah di situ. Beri amaran kepada anak-anak anda untuk menjauhi tempat-tempat tersebut.

 

Gejala Negatif

 

Sikap keibubapaan yang baik mampu membantu anak-anak menjauhi kumpulan kongsi gelap. Keprihatinan ibu bapa adalah penting untuk memastikan anak-anak tidak melibatkan diri dengan perkara-perkara jenayah bersama kumpulan samseng. Perbincangan bersama anak-anak adalah penting. Terangkan sebab mengapa anda tidak mahu anak-anak anda menganggotai kumpulan yang berpotensi melakukan jenayah. Beritahu mereka keburukan dadah, melakukan keganasan dan jenayah lain.

 

            Perhatikan ciri-ciri di bawah untuk memastikan anak-anak anda tidak terjebak dengan perkara-perkara negatif:

 

1.         Bersikap negatif dan agresif.

 

        Mereka berubah sikap berlainan daripada sikap kebiasaan

 

2.         Pulang lewat ke rumah.

 

        Mereka berada di luar rumah lebih lama daripada kebiasaannya terutama pada waktu malam dan tiada alasan yang munasabah.

 

3.         Berkumpul dengan rakan-rakan baru.

 

        Mereka mengabaikan rakan-rakan lama dan menghabiskan masa dengan orang lain yang anda tidak kenali.

 

4.          Melupakan tugasan yang diberikan oleh guru dan prestasi pelajaran menurun.

 

5.         Mempunyai wang lebih daripada wang saku yang anda berikan.

 

        Mereka boleh berbelanja dengan nilai barangan yang dibeli lebih daripada wang yang anda berikan atau yang mereka minta.

 

6.         Mempamerkan simbol, nama atau gambar yang dipadukan dengan nama kumpulan yang

 

        Ia dilukiskan di buku, pakaian, atau poster yang ditampal di bilik tidur mereka.

 

7.         Membawa senjata.

 

        Mereka mula membawa senjata seperti pisau atau kayu ketika keluar rumah.

 

8.         Anda menjumpai kotak rokok atau bahan-bahan negatif lain di dalam beg sekolah dan bilik tidur mereka.

 

9.         Perubahan sikap yang mendadak.

 

        Satu ketika anak anda nampak gembira dan banyak bercakap dan pada ketika lain menjadi lemah, pendiam dan pemurung.

 

10.     Keletihan.

 

        Anak anda kelihatan kekurangan tenaga dan tidur lebih daripada kebiasaan tanpa sebab yang munasabah.

 

11.      Bertukar penampilan diri.

 

        Anak anda kelihatan turun berat badan mendadak, sering tidak sihat dan sering cedera atau lebam.

 

12.     Berubah cara kehidupan.

 

        Anak anda hilang minat pada hobi kebiasaannya dan berkawan dengan kawan-kawan baru yang berimej negatif.

 

13.     Sering kehilangan wang di rumah anda atau wang saku yang diberikan sering cepat habis digunakan.

 

Galakkan anak-anak anda untuk aktif dalam sukan dan aktiviti masyarakat. Ia boleh dijadikan salah satu cara untuk anak-anak anda mencari kawan dengan jalan yang positif. Walau bagaimanapun anda perlu memantau pergerakan dan aktiviti mereka.

 

Galakkan mereka menceburi bidang yang mereka minati dengan syarat ia bersifat positif. Beri sokongan yang sepatutnya supaya mereka berasa dihargai dan bersungguh-sungguh melakukannya.

Sekolah

 

Biasakan diri anda dengan bangunan sekolah dan persekitarannya, jadual persekolahan, pelan keselamatan yang disediakan pihak sekolah dan jalan-jalan yang dilalui oleh anak-anak anda ke sekolah.

 

Tanya anak-anak anda tentang perasaannya. Adakah mereka berasa selamat di sekolah? Apakah pelan keselamatan yang disediakan pihak sekolah berkaitan dengan kebakaran, kecemasan, jenayah, buli, penggunaan dadah, kemasukan orang asing ke dalam sekolah dan kawasan persekitarannya?

 

Selidiklah hal-hal tersebut dengan melawat ke sekolah dan libatkan diri anda dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru. Nyatakan keprihatinan anda dalam mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru.

 

Perjalanan Ke Sekolah

 

1.                    Anda menghantar ke sekolah.

 

Jika anda mempunyai masa untuk melakukannya, ia adalah cara yang terbaik untuk memastikan keselamatan mereka dari pintu rumah ke pintu sekolah.

 

Jika anda tidak mempunyai masa, menumpangkan anak anda kepada ibu bapa lain di kawasan perumahan anda yang anda kenali yang mempunyai kelapangan masa untuk berbuat demikian juga cara yang baik

 

Pastikan anak-anak anda mengenali secara tepat orang yang menghantar dan mengambil mereka untuk pergi dan pulang sekolah.

 

Sentiasa mengingatkan mereka agar tidak menumpang orang yang tidak mereka kenali atau orang yang diragui. Walaupun orang itu menyatakan dirinya mengenali anda dan diminta untuk menjemput anak-anak anda. Nyatakan bahawa itu mungkin perangkap penjenayah untuk menculik mereka.

 

Jika anda atau orang yang ditugaskan untuk mengambil mereka terlambat, hubungi pihak sekolah untuk memastikan mereka dijaga dengan baik dan tidak mengikut orang lain. Jangan minta orang lain mengambil mereka tanpa memberitahu mereka dan pihak sekolah terlebih dahulu.

 

2.                    Berjalan kaki atau menunggang basikal

 

Ingatkan anak-anak anda perihal keselamatan semasa berjalan kaki dan menunggang basikal.

 

Jika mereka tidak ditemani orang dewasa, pastikan mereka berjalan atau berbasikal bersama-sama rakan-rakan sekolah mereka. Jangan biarkan mereka bersendirian.

 

Sebelum anda membenarkan anak-anak anda berbasikal ke sekolah, ujilah kemahirannya menunggang basikal dan pengetahuannya tentang keselamatan di jalan raya untuk memastikan mereka berbasikal di jalan raya dengan selamat.

 

Periksa dan perhatikan jalan yang dilalui oleh anak-anak anda ke sekolah. Beri perhatian kepada persimpangan jalan yang sibuk dan tempat lintasan pejalan kaki. Beri ingatan kepada anak-anak anda supaya berhati-hati di tempat tersebut.

 

Selain itu beri perhatian kepada tempat-tempat yang berpotensi menjadi markas penjenayah. Beri ingatan kepada anak-anak anda supaya menjauhinya.

 

Periksa dan pastikan basikal yang digunakan anak-anak anda dalam keadaan baik dan selamat. Perhatikan brek, lampu dan pembalik cahaya dalam keadaan sempurna.

 

3.                    Bas sekolah

 

Pastikan bas sekolah yang digunakan menepati piawaian yang ditetapkan.Pastikan pemandu bas beretika dan mementingkan keselamatan penumpang iaitu murid-murid sekolah.

 

Perhatikan masa bas sekolah sampai ke tempat anak-anak anda menunggu untuk memastikan mereka tidak ketinggalan bas untuk ke sekolah. Beri ingatan kepada mereka untuk menunggu bas sebelum ketibaannya.

 

Pastikan anak-anak anda menunggu bas bersama rakan-rakan sekolahnya. Jangan biarkan mereka menunggu bersendirian tanpa ditemani sesiapa.

 

Beri ingatan kepada anak-anak anda supaya tidak melintas di hadapan atau di belakang serta merta apabila turun daripada bas. Biarkan bas berlalu pergi terlebih dahulu dan pandang kiri dan kanan sebelum melintas. Pemandu bas tidak dapat melihat keadaan keseluruhan di luar bas. Bas juga menghalang pandangan pemandu kenderaan lain dan murid sekolah.

 

Beri penekanan terhadap tingkah laku yang baik ketika berada di dalam bas kepada anak-anak anda. Jangan mengganggu pemandu bas. Duduk di tempat yang disediakan dengan baik dan tunggu sehingga bas betul-betul berhenti sebelum bergerak turun. Jangan hiraukan rakan-rakan yang mengganggu. Jika keterlaluan, laporkan kepada pemandu bas atau guru di sekolah.

 

4.                    Pengangkutan awam

 

Jika terpaksa menggunakan perkhidmatan awam untuk ke sekolah, bagi murid sekolah rendah cuba pastikan ditemani orang dewasa. Jika tiada, cuba pastikan mereka bersama rakan-rakan sekolah dalam satu kumpulan. Ingatkan anak-anak anda supaya berhati-hati dan sentiasa bersikap yakin pada diri sendiri.

 

Ketika memilih tepat duduk, pilihlah tempat duduk bersama rakan sekolah atau orang yang mereka kenali dan biasa. Jangan duduk bersendirian. Cuba pilih tempat duduk yang berdekatan dengan pemandu bas.

 

Ingatkan anak-anak anda, jika seseorang cuba melakukan jenayah terhadap mereka, tarik perhatian ramai dengan menjerit dan mencari bantuan secepat mungkin. Mereka juga boleh menggunakan butang kecemasan yang berhampiran.

 

 

Rombongan

 

            Apabila anak-anak anda mengikuti rombongan lawatan sambil belajar yang dianjurkan pihak sekolah, ambil perhatian terhadap perkara-perkara berikut: -

 

Hubungi pihak sekolah untuk bertanyakan tentang rombongan tersebut. Perkara-perkara yang perlu ditanya ialah: -

 

1.         Lokasi tujuan rombongan.

 

Kemana lawatan akan dilakukan? Kenapa lokasi tersebut dipilih?

 

2.         Peserta rombongan.

 

Berapa ramai peserta yang mengikuti rombongan? Berapa ramai guru pengiring yang membimbing? Minta nombor telefon bimbit guru pengiring untuk memastikan keselamatan anak anda terjamin. Beri nombor telefon anda kepada guru pengiring supaya mereka dapat menghubungi anda jika berlaku kecemasan terhadap anak anda semasa lawatan diadakan.

 

3.         Bantuan kecemasan.

 

Tanyalah bantuan kecemasan yang disediakan sepanjang lawatan dilakukan seperti peti pertolongan cemas dan pengetahuan guru pengiring tentang pertolongan cemas.

 

4.         Langkah keselamatan.

 

Tanyalah langkah keselamatan yang diambil sepanjang lawatan seperti pemeriksaan ahli rombongan setiap kali menaiki bas selepas lawatan dan peringatan untuk sentiasa berjalan dalam kumpulan serta sentiasa diiringi guru pengiring.

 

            Anda juga perlu memberikan maklumat kesihatan seperti penyakit, alahan, dan ubat-ubatan kepada guru pengiring. Bekalkan anak-anak anda dengan ubat-ubatan yang mencukupi sepanjang tempoh lawatan.

 

            Ingatkan anak-anak anda tentang peringatan keselamatan biasa dan jangan terlalu berseronok sehingga mengabaikan keselamatan diri dan rakan-rakan mereka.

 

Universiti dan Kolej

 

Kemasukan ke universiti dan kolej merupaka satu perubahan besar untuk anak-anak remaja anda. Kehidupan di universiti dan kolej menuntut remaja mula berdikari dalam suasana dan rakan-rakan yang baru. Remaja mula mendapat lebih kebebasan dan mula keluar daripada pengawasan ketat ibu bapa.

 

Keadaan seperti ini jika digunakan dengan cara yang tidak betul mungkin menjerumuskan remaja kepada keadaan yang tidak diingini terutama yang berkaitan dengan jenayah.

 

Untuk mengelakkannya, ibu bapa perlu tetap mengawasinya dan memberi nasihat yang diperlukan untuk membimbing remaja bersesuaian dengan permulaan untuk mereka berdikari.

 

Ingatkan anak-anak remaja anda tentang aspek keselamatan peribadi yang telah dibincangkan dalam tajuk-tajuk yang lalu.

 

 Beri panduan kepada mereka dalam memilih rakan-rakan baru yang baik dan tidak terlibat dengan masalah-masalah sosial. Rakan-rakan merupakan pengaruh terbesar dalamkehidupan remaja. Kenali rakan-rakan mereka dan cuba dapatkan nombor telefon mereka.

 

Dapatkan jadual pembelajaran dan aktiviti mereka sebagai panduan untuk mengawasi kehidupan mereka. Anda boleh melakukan lawatan mengejut untuk memeriksa aktiviti harian mereka. Analisis keputusan peperiksaan mereka.

 

Selidikilah keselamatan bangunan fakulti dan kolej kediaman, kemudahan yang disediakan, dan pelan tindakan keselamatan yang disediakan oleh pihak universiti dan kolej.

 

Selidik juga kehidupan malam pelajar-pelajar universiti dan kolej dan kemasukan orang asing ke universiti dan kolej.  

Tiada ulasan: