Jenayah jalanan boleh berlaku pada bila-bila masa-siang atau malam.Oleh itu terpulanglah pada diri anda sendiri untuk menetapkan tahap keselamatan diri dan harta benda bersesuaian dengan keselesaan anda.Kebanyakan orang berhati-hati dengan suasana baru dan tidak biasa. Walau bagaimanapun berhati-hati pada suasana rutin sama juga pentingnya. Kelalaian pada suasana rutin sering memerangkap individu menjadi mangsa
Langkah-langkah keselamatan yang berikut hanyalah cadangan-cadangan untuk mengelakkan anda menjadi mangsa jenayah yang sering berlaku dan semakin meningkat.
Luar Rumah
Simpan nombor telefon kecemasan di dalam telefon bimbit anda. Sekiranya anda terperangkap dalam kecemasan anda boleh menghubungi bantuan secara spontan tanpa perlu berusaha mengingatinya. Simpan nombor telefon terus balai polis, balai bomba dan hospital yang berdekatan. Ia akan lebih memudahkan dan mempercepat bantuan sampai ketika diperlukan. Penggunaan talian bantuan kecemasan 999 atau 994 agak mengambil masa kerana digunakan di seluruh negara menyebabkan maklumat yang lengkap perlu diperolehi sebelum pihak yang berkenaan di kawasan terbabit dihubungi untuk menyampaikan bantuan.
Simpan nombor telefon untuk membatalkan kad kredit dan kad ATM. Jika dompet anda hilang, buat panggilan untuk membatalkan kad kredit dan kad ATM anda secepat mungkin. Bertindaklah segera sebelum anda kerugian besar kerana kehilangan banyak wang. Jangan beri peluang kepada penjenayah mengeluarkan duit anda. Tindakan yang cepat akan mengecewakan penjenayah
Simpan nombor pengenalan kad (PIN) berasingan daripada kad. Adalah lebih baik sekiranya anda mampu untuk mengingat nombor pengenalan kad anda dan kemudiannya melupuskan catatan nombor tersebut. Ia bermakna hanya anda seorang yang mengetahui nombor tersebut. Walau bagaimanapun sekiranya anda tidak mampu mengingatnya pastikan catatan nombor pengenalan kad tersebut disimpan berasingan daripada kad. Cara ini dapat mengelakkan orang lain menggunakan kad anda tanpa disedari dan menghindarkan peragut menggunakan kad tersebut untuk mengeluarkan duit anda daripada akaun sebelum sempat anda membatalkan kad tersebut.
Buat salinan semua kad yang ada di dalam dompet anda. Jangan simpan salinan tersebut di dalam dompet tetapi simpanlah di rumah atau di dalam kenderaan anda. Ia akan memudahkan anda semasa membuat laporan kehilangan dompet dan kad-kad anda. Anda boleh menyebutkan nombor, akaun dan skim kad yang betul dan tepat. Ia akan mempercepat pembatalan kad tersebut dan penggantiannya dengan kad yang baru.
Simpan kunci rumah dan kenderaan di dalam saku. Ia memudahkan dan menyegerakan pergerakan anda untuk masuk ke dalam kenderaan atau rumah. Ia merendahkan risiko anda diganggu penjenayah kerana anda telah bersedia untuk memasuki kenderaan atau rumah dalam tempoh yang pendek dan penuh waspada. Jangan letakkan kunci di dalam beg tangan. Ia memerlukan anda untuk mencari kunci tersebut. Ini akan mengurangkan tahap kewaspadaan anda dan menarik minat penjenayah terhadap anda.
Jangan letakkan alamat rumah atau nombor pendaftaran kereta pada kunci. Sekiranya kunci itu jatuh ke tangan penjenayah, ia adalah habuan besar untuknya. Penjenayah akan mencari rumah atau kenderaan anda berpandukan kunci itu. Pelbagai jenayah boleh berlaku atas kecuaian ini. Selain rompakan, penculikan dan pencabulan juga boleh berlaku. Penjenayah mempunyai peluang untuk masuk ke rumah anda tanpa disedari dan menimbulkan syak.
Bawa sedikit duit syiling atau kadfon. Dalam kecemasan, anda mungkin menggunakan telefon awam untuk mendapatkan pertolongan sekiranya telefon bimbit anda kehabisan bateri atau kredit atau berada di luar kawasan liputan.
Simpan buku cek dengan kad kredit di tempat yang berasingan. Jika salah satu hilang, anda masih boleh menggunakan yang lain, tetapi jika diletakkan bersama pada satu tempat, kemungkinan untuk kedua-duanya hilang serentak adalah tinggi dan anda akan menghadapi kesulitan besar.
Pakai pakaian yang selesa, longgar dan senang bergerak. Ia memudahkan anda bertindak balas tanpa halangan terhadap penjenayah sama ada untuk mempertahankan diri atau menghalang mereka melarikan diri. Jangan memakai pakaian yang ketat yang mengganggu pergerakan anda. Ia juga boleh terkoyak dan menyebabkan anda menanggung malu di khalayak ramai. Jangan memakai pakaian yang terlalu longgar atau besar kerana ia juga boleh mengganggu pergerakan anda. Selain itu ia menyebabkan anda kelihatan lebih besar daripada saiz badan anda sebenar.
Jangan memakai barangan kemas yang keterlaluan. Selindungkan barangan kemas anda ketika di khalayak awam. Pemakaian barang kemas yang keterlaluan akan menarik perhatian penjenayah untuk meragut, merompak atau mengugut anda.
Buat perancangan awal dengan menghubungi tempat tujuan anda untuk meminta gambaran yang jelas tentang lokasinya. Cara ini mengelakkan anda tersesat jauh dan berhadapan dengan masalah-masalah lain seperti ditipu oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Jika tersesat semasa memandu, jangan meneruskan pemanduan di jalan yang tidak diketahui. Kembali ke jalan yang asal. Berpatah balik adalah jalan yang terbaik untuk anda memastikan arah destinasi yang betul
Keluar bersama kawan-kawan yang dipercayai apabila keluar pada waktu malam dan ke tempat yang kurang selamat. Penjenayah memilih mangsa yang berjalan bersendirian kerana memudahkannya melakukan jenayah. Penjenayah tidak akan menyerang orang yang berjalan dalam kumpulan kerana mangsa mudah mendapat bantuan. Rancangkan untuk berjalan dengan rakan yang dipercayai sama ada dengan pengangkutan awam atau berkongsi kereta. Jangan biarkan diri anda atau rakan menunggu berseorangan. Rancang tempat pertemuan anda dan rakan-rakan di tempat yang terbuka dan selamat seperti di pondok kawalan keselamatan. Di pondok kawalan keselamatan, ada pengawal bertugas yang boleh menemani anda menunggu rakan anda. Selain itu tempat tersebut tidak menjadi tumpuan penjenayah.
Jangan berpisah dengan rakan-rakan anda. Berjalanlah bersama-sama dan saling menunggu ketika memilih barangan. Selain daripada keselamatan, ia memberi peluang kepada anda dan rakan-rakan bertukar-tukar fikiran terhadap perkara atau barang yang menarik minat anda. Anda akan lebih berfikir panjang tentang perkara atau barang tersebut dan dapat mengelakkan pembaziran atau berasa rugi kemudian. Saling menjaga keselamatan diri dan barangan bersama-sama rakan anda. Amalkan sikap tolong menolong dan bantu membantu antara satu sama lain. Satu lagi kelebihan keluar bersama rakan ialah anda dan rakan dapat melihat dari pelbagai arah pandangan dan ia membantu anda lebih menyedari keadaan sekeliling dan bertindak pantas untuk menyelamatkan diri. Jangan meninggalkan rakan bersendirian menunggu anda kerana ia mendedahkannya kepada penjenayah.
Elakkan melakukan perbuatan yang menarik perhatian penjenayah. Kelekaan anda adalah peluang yang dinanti oleh penjenayah. Jangan menggunakan telefon bimbit ketika berjalan. Ketika anda berbual menerusi telefon bimbit, perhatian anda tertumpu kepada perbualan anda dan tidak mengendahkan persekitaran anda. Ini bermakna anda tidak menumpukan perhatian kepada perjalanan anda dan perkara yang berlaku di sekeliling anda. Keadaan anda yang sedemikian menyebabkan penjenayah menjadikan anda sasaran jenayah yang mudah disebabkan keadaan anda yang tidak bersedia. Jangan menggeledah beg ketika berjalan. Ini juga keadaan yang menarik perhatian penjenayah kerana perhatian anda tidak pada keadaan sekeliling sebaliknya kepada barang yang dicari di dalam beg. Ia memudahkan penjenayah meragut beg anda kerana anda dalam keadaan tidak bersedia dan akan tergamam sekiranya beg diragut secara tiba-tiba. Sebaiknya cari dan berhentilah di tempat yang selamat seperti di dalam kedai untuk membuat panggilan atau mencari barangan di dalam beg anda. Pastikan anda tidak diekori sesiapa ketika berada di dalam kedai tersebut.
Apabila anda keluar rumah, beritahu lokasi tujuan anda kepada rakan atau keluarga yang menunggu rumah. Jika anda tinggal bersendirian di rumah, hubungi rakan atau keluarga rapat anda dan beritahu mereka lokasi tujuan anda sebelum meninggalkan rumah. Begitu juga anda perlu menghubungi mereka setelah pulang ke rumah atau anda membatalkan perancangan untuk keluar. Jika sesuatu perkara penting atau kecemasan berlaku dan anda tidak dapat dihubungi, mereka tahu di mana mereka perlu mencari anda. Begitu juga jika anda hilang atau diculik, mereka boleh membuat laporan kepada polis dengan menyatakan tempat terakhir anda berada. Maklumat seperti ini dapat membantu pihak polis dalam melakukan siasatan.
Berjalan dengan yakin dan sentiasa bersedia. Tunjukkan gerak badan yang positif. Jangan berjalan terlalu laju atau tergopoh-gapah dan jangan terlalu perlahan atau terleka. Keadaan-keadaan seperti ini menarik perhatian penjenayah kerana mereka mengetahui bahawa orang yang berkeadaan seperti ini tidak menumpukan perhatiannya kepada langkah sebaliknya memikirkan perkara lain. Keadaan seperti ini memberi peluang kepada penjenayah untuk menjadikannya sebagai sasaran. Tumpukan perhatian kepada perjalanan anda. Pandang ke depan. Jangan berjalan memandang ke bawah. Anda akan terleka dan tidak menyedari keadaan di sekeliling anda. Perhati dan dengar persekitaran anda. Berhati-hati jika ada orang yang tidak dikenali menghampiri dan menegur anda. Jangan simpan tangan anda di dalam kocek seluar atau baju. Perlakuan seperti ini menunjukkan bahawa anda tengah memikirkan sesuatu dan perhatian anda tidak ditumpukan pada langkah anda. Anda mudah diugut penjenayah secara tiba-tiba di tempat yang tersorok yang anda tidak sedar melaluinya. Selain itu keadaan seperti ini menghalang tangan anda daripada bertindak balas dengan cepat terhadap penjenayah sama ada untuk mempertahankan diri atau menahan penjenayah melarikan diri kerana terhalang oleh saku pakaian anda.
Berjalan di arah yang bertentangan dengan arah kenderaan. Oleh sebab kenderaan di Malaysia menggunakan lorong di sebelah kiri, ini bermakna anda perlu berjalan di sebelah kanan.Anda akan dapat melihat kenderaan yang datang dari arah depan dan berwaspada dengan kelakuan pemandu kenderaan atau orang yang berada di dalam kenderaan. Biasanya penjenayah berkenderaan akan meragut beg anda dari belakang kerana tidak mahu anda menyedari kehadiran mereka dan dapat meragut dalam keadaan anda tergamam dan tidak bersedia. Arah perjalanan anda yang bertentangan dengan haluan kenderaan juga dapat menyelamatkan anda daripada dilanggar oleh kenderaan yang terbabas ke tepi tanpa anda menyedarinya.
Galas beg tangan di sebelah dalam. Galas beg tangan anda di bahu kanan anda untuk mengelakkan ia diragut dengan mudah oleh pemandu kenderaan yang berada di sebelah kiri anda. Kedudukan beg tangan di sebelah dalam menyusahkan peragut untuk mencapainya kerana agak jauh daripada kenderaan anda dan memberi peluang untuk anda melarikan diri sebelum sempat diragut.
Jangan berjalan di lorong sunyi dan gelap. Penjenayah sering bersembunyi menanti mangsa di kawasan seperti ini kerana sukar bagi mangsa mendapatkan pertolongan. Pilihlah jalan lain yang terang dan ramai orang walaupun agak jauh. Ingat bahawasanya keselamatan anda tiada kompromi.
Berwaspada dengan orang lain. Berhati-hati dengan orang yang berada di sekeliling anda. Penjenayah boleh berkeadaan dengan pelbagai rupa sama ada pengemis, ahli korporat, remaja, pelajar sekolah dan sebagainya. Mereka sentiasa mengintip peluang menunggu anda terleka untuk dijadikan mangsa perbuatan jenayah yang pelbagai.
Jangan gunakan lif atau tangga bersendirian tanpa teman yang dikenali. Lif dan tangga merupakan antara tempat tumpuan penjenayah melakukan aktiviti mereka kerana ia terselindung daripada kawalan pengawal keselamatan dan keadaan yang sunyi dan tersorok daripada pandangan ramai. Pengguna lif atau tangga yang bersendirian merupakan mangsa yang sering ditunggu penjenayah.
Elakkan berjalan di tempat yang sesak dan berebut-rebut. Situasi berebut-rebut menyebabkan anda kurang berwaspada. Penyeluk saku dan peragut sering menggunakan peluang ini untuk bertindak terhadap mangsanya. Keadaan sesak juga menghalang anda untuk bertindak balas dengan cepat dan penjenayah mudah menghilangkan diri dengan menyusup ke tempat lain tanpa disedari.
Apabila terasa diekori, pusinglah menghadap terus kepada orang yang disyaki Jangan sekadar menjeling ke belakang dan cuba melarikan diri. Keyakinan anda berbuat demikian boleh membantutkan niat penjenayah untuk menyerang anda. Anda akan kelihatan berani dan bersedia menghadapi situasi yang tidak menyenangkan. Penjenayah akan berasa ragu-ragu untuk menyerang mangsa yang bersedia kerana boleh mendatangkan masalah untuknya seperti perbuatannya menjadi perhatian umum atau ditewaskan oleh mangsa. Selain itu, berpusing menghadap terus kepada orang yang disyaki dapat memberi gambaran jelas perkara yang ingin dilakukan oleh orang yang mengekori anda dan membantu anda mengecam rupa dan perwatakannya secara tepat. Jangan biarkan keraguan menyelubungi diri anda.
Apabila ada seseorang di dalam kenderaan bertanya tentang sesuatu kepada anda, jangan terlalu hampir dengan kenderaan tersebut. Jauhkan diri anda dengan jarak lebih daripada satu tangan atau kira-kira anda tidak boleh ditarik masuk ke dalam kenderaannya. Penjenayah mungkin menggunakan cara berpura-pura bertanya kepada mangsa untuk menghampiri mangsa tanpa disyaki sebelum meragut beg tangan atau menculik mangsa. Jika pertanyaan tidak jelas di pendengaran anda, katakan tidak tahu dan teruskan berjalan ke arah yang bertentangan dengan arah kenderaan itu. Pemandu tersebut akan terpaksa mengundur atau berpusing balik untuk mengekori anda. Jika mereka keluar dan cuba menghampiri anda, segera masuk ke dalam kedai atau rumah yang berhampiran untuk meminta pertolongan.
Katakan tidak tahu jika anda mendapati seseorang yang mencurigakan bertanya sesuatu kepada anda. Terus berjalan dan cuba untuk menghampiri kawasan yang selamat seperti pondok polis atau pondok kawalan keselamatan. Penjenayah sering menyamar bertanya sesuatu untuk menghampiri mangsa sebelum meragut atau mengugut.
Jangan pulang tanpa mereka yang pergi bersama anda. Hubungi rakan yang bersama anda apabila tiba di rumah untuk memastikan keselamatan. Saling memastikan anda dan rakan anda selamat dan tidak menghadapi sebarang masalah di sepanjang perjalanan pulang. Jika anda diserang penjenayah ketika dalam perjalanan pulang, rakan anda mungkin menyedari sesuatu telah berlaku kepada anda kerana anda tidak menghubunginya dalam tempoh yang munasabah anda tiba di rumah. Rakan anda boleh mengambil tindakan cepat mencari anda sebelum sesuatu kejadian yang lebih teruk terjadi kepada anda.
Tidur di rumah rakan anda jika berasa keselamatan tidak terjamin untuk pulang bersendirian. Jika anda mengesan ada orang mengekori anda dan mengesyaki mereka akan bertindak tidak baik terhadap anda ketika anda bersendirian dalam perjalanan pulang ke rumah, adalah lebih baik anda bermalam di rumah rakan anda dan pulang pada keesokan hari sahaja. Begitu juga sekiranya perjalanan pulang ke rumah anda melalui kawasan yang berbahaya kepada keselamatan seperti tempat yang gelap, sunyi dan terkenal sebagai kawasan jenayah. Penjenayah sentiasa menunggu anda bersendirian untuk bertindak mengancam keselamatan anda.
Apabila hampir tiba di rumah bersedia dengan kunci rumah di tangan. Buka pintu dan masuk ke dalam rumah secepat mungkin terutama pada waktu malam. Jangan berlengah-lengah memerhatikan keadaan sekeliling kerana ia akan memberi peluang kepada penjenayah yang mengekori anda untuk bertindak menerpa masuk ke dalam rumah dan melakukan jenayah terhadap anda.
Wang, Dompet dan Beg Tangan
Bawa wang sekadar mencukupi apabila keluar. Ini untuk mengelakkan anda daripada menghadapi kerugian besar apabila dirompak atau diragut. Ia juga baik untuk belanjawan anda. Anda akan hanya membeli barang keperluan yang telah direncanakan sejak awal, menghindari pembelian yang tidak perlu dan mengelakkan pembaziran.
Simpan wang dengan baik bagi mengelakkan penyeluk saku mengintai peluang. Elakkan menyimpan wang semasa berjalan kerana wang tidak akan tersimpan dengan baik dan boleh menyebabkannya tercicir di perjalanan. Selain itu ia menarik perhatian penyeluk saku untuk mengekori anda. Sekiranya anda hendak menyimpan wang baki selepas pembelian sesuatu barang, atau wang yang baru dikeluarkan daripada bank, lakukannya di dalam kedai atau bank itu juga dengan kemas dan pastikan dompet dan beg tangan ditutup dengan sempurna semula. Ambil masa yang sepatutnya dan jangan tergopoh-gapah.
Sekiranya wang yang banyak diperlukan, simpan di beberapa saku yang berasingan. Jangan simpan di satu tempat sahaja. Ia boleh menyebabkan anda kerugian besar apabila semua wang anda diambil oleh perompak, peragut atau penyeluk saku. Apabila anda meletakkan wang-wang tersebut di beberapa tempat yang berasingan, penjenayah tidak dapat mengambil kesemuanya. Sekiranya mereka berhajat mengambil kesemuanya, ia memerlukan masa yang lebih panjang dan membolehkan anda berikhtiar untuk mendapatkan pertolongan. Apabila diugut serahkan wang di tempat simpanan yang paling sedikit dengan mencampakkannya seberapa jauh mungkin dan ketika penjenayah cuba memungut wang tersebut, cubalah untuk melarikan diri.
Jangan membawa wang tunai di dalam sampul surat ketika meninggalkan bank. Ia menarik perhatian penjenayah untuk menumpukan usaha mereka merampas sampul surat tersebut. Selain itu sampul surat lebih mudah dirampas dan diragut berbanding dengan beg kerana ia biasnya dijinjing sahaja.
Jangan mengira wang di dalam kenderaan ketika kesesakan jalan raya. Penjenayah bermotosikal boleh mengugut anda dengan mengacu senjata untuk menyerahkan wang ketika lalu di sisi kenderaan anda seterusnya melarikan diri dengan mudah ketika anda masih terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Selain itu penumpuan anda terhadap pemanduan akan terjejas dan boleh menyebabkan kemalangan atas kecuaian anda sendiri.
Bawa dompet di samping beg tangan. Jangan letakkan dompet di dalam beg tangan sebaliknya simpan di pakaian anda. Simpan sebahagian wang di dompet dan sebahagian lagi di beg tangan. Simpan dokumen penting yang kecil seperti kad pengenalan dan lesen memandu di dalam dompet. Jangan letakkan dompet di saku luar beg kerana anda mungkin tidak menyedari dompet anda diambil penyeluk saku. Sekiranya salah satu antara beg tangan diragut penjenayah atau dompet dicuri penyeluk saku, anda masih punya wang untuk membuat laporan di balai polis, menelefon rakan atau keluarga dan pulang ke rumah.
Bimbit atau kepit beg tangan dengan kemas ketika berjalan. Anda dapat merasa sesuatu terjadi pada beg tangan dan bersedia untuk bertindak mempertahankannya. Selain itu ia mematikan hasrat penjenayah menjadikan anda sebagai sasaran kerana anda sentiasa dalam keadaan bersedia. Jangan menyandang tali beg tangan secara bersilang di badan anda. Anda menghadapi risiko mengalami kecederaan parah jika peragut merampas beg tangan anda secara keras terutama peragut berkenderaan. Anda mungkin jatuh tersembam dan diseret jauh mengikut kenderaan peragut disebabkan tali beg tangan yang bersilang di badan anda.
Simpan dompet di saku seluar yang berbutang dan pasang butang tersebut. Ia menyukarkan penyeluk saku untuk mencuri dompet anda. Ia juga dapat mengelakkan dompet anda tercicir terutama ketika duduk dan seluar yang dipakai agak sempit yang menyebabkan dompet anda tidak tersimpan dengan sempurna dan mudah terkeluar tanpa disedari.
Jangan biarkan beg di tempat yang mudah dicapai oleh peragut terutamanya ketika makan, memilih barang atau membuat pembayaran di kaunter. Jangan letakkan beg tangan di tempat sandar kerusi. Jangan letakkan dompet, beg tangan atau telefon bimbit di atas meja ketika makan di kedai makan. Meletakkan barang-barang penting dan berharga di atas meja atau di tempat sandar kerusi di kedai makan dan di atas kaunter pembayaran akan memudahkan penjenayah mencapai barang tersebut ketika anda terleka lalu melarikan diri sebelum anda menyedarinya. Sandang tali beg tangan dan letakkan beg tangan di riba ketika anda duduk. Jika anda membawa beg bimbit atau beg galas, posisikan beg anda di celah kaki anda ketika makan atau menunggu. Posisi-posisi meletakkan beg seperti ini lebih menjamin keselamatan kerana menyukarkan penjenayah mengambil beg kerana terhalang dengan anggota badan anda. Walau bagaimanapun kewaspadaan anda masih amat diperlukan.
Makan dan Minum
Pilih kedai makan yang bersih dan selamat. Ia mengelakkan anda mengalami keracunan makanan yang boleh memudaratkan diri anda
Jangan minum bersendirian di tempat awam. Ia menarik perhatian penjenayah untuk memerhati, mendekati, menggoda dan mengekori anda.
Berhati-hati dengan orang yang tidak dikenali yang cuba menghampiri anda. Mereka mungkin penjenayah yang cuba menggoda anda supaya menuruti kehendak mereka. Jika tidak menyenangi orang yang mendekati anda, cubalah beredar secara bersopan. Buatlah helah untuk menjauhinya secara baik. Jangan berkasar kerana ia akan menimbulkan kekecohan dan menerbitkan dendam di hatinya untuk melakukan jenayah terhadap anda.
Perhatikan rakan anda dan cuba bantunya sekiranya dia kelihatan tidak selesa. Sekiranya anda melihat rakan anda tidak senang dengan orang yang tidak dikenali, cuba hubunginya pada jarak tertentu dengan telefon bimbit supaya orang itu menyedari bahawa rakan anda tidak berseorangan dan memberi peluang kepadanya untuk menghentikan perbualan.
Prihatin terhadap minuman anda ketika minum di tempat awam. Jangan tinggalkan minuman anda untuk ke tandas dan sebagainya. Pastikan minuman anda tidak dimasuki dan dicemari oleh bahan-bahan lain.
Jangan terima minuman daripada orang yang tidak dikenali. Kemungkinan minuman itu sudah bercampur dengan dadah untuk mengkhayalkan anda. Beli minuman anda sendiri daripada kaunter. Tuang minuman anda sendiri atau perhatikan minuman anda sekiranya dituang oleh orang lain. Cara ini tidak memberi peluang kepada penjenayah untuk memasukkan bahan yang mengkhayalkan ke dalam minuman anda. Jangan berkongsi minuman dengan sesiapa terutama dengan orang yang tidak dikenali. Jangan minum minuman beralkohol jika anda memandu. Pastikan pemandu tidak mabuk. Pengaruh alkohol menyebabkan mabuk dan tidak dapat mengawal perbuatan dan persekitaran dengan baik. Pemabuk boleh melakukan perkara yang tidak dilakukannya ketika waras. Sekiranya anda berasa tidak selesa selepas minum, cari rakan atau pengawal keselamatan dan pergi ke tempat yang selamat. Cuba dapatkan contoh minuman anda.
Sentiasa berwaspada dan sedar dengan perlakuan anda. Jangan hiraukan cabaran yang mahu anda melakukan sesuatu yang tidak biasa anda lakukan. Kadangkala cabaran tersebut adalah perangkap yang dipasang untuk memperdayakan anda.
Jangan ke tandas bersendirian. Pergilah bersama rakan. Tandas boleh menjadi tempat persembunyian penjenayah kerana tempatnya yang terlindung dan sunyi. Penjenayah merancang menggunakan tandas ketika mangsa berseorangan dan tiada orang lain yang dapat diharapkan untuk membantu. Pergi ke tandas bersama rakan adalah lebih selamat dan dapat menghindarkan jenayah berlaku ke atas diri anda di tandas.
Sekiranya berlaku pergaduhan, beritahu pengawal keselamatan. Jangan cuba untuk meleraikannya bersendirian. Anda mungkin akan terlibat dengan pergaduhan yang menyebabkan kecederaan ke atas diri anda.
Sekiranya anda berasa ragu dengan keselamatan anda untuk keluar daripada tempat tersebut, hubungi rakan atau keluarga untuk mengambil anda. Ketika mereka sampai minta pengawal keselamatan untuk menemani anda ke kenderaan rakan atau keluarga.
Tinggalkan tempat bersosial paling lewat 30 minit sebelum ia ditutup. Ia mengelakkan anda daripada bersesak-sesak untuk keluar apabila ia ditutup. Keadaan bersesak-sesak memberi peluang kepada penjenayah untuk menyeluk saku, meragut atau melakukan jenayah lain terhadap anda.
Membeli-belah
Parkirlah kenderaan berdekatan dengan kedai. Ia memudahkan anda memunggah barang daripada kedai ke kenderaan dan mengurangkan masa dan peluang penjenayah bertindak menyerang anda.
Jangan membeli belah terlalu banyak. Beli barangan sekadar yang mampu untuk dibawa satu tangan sahaja. Ini membolehkan tangan yang bebas bertindak balas secepat mungkin sekiranya anda diragut atau diserang oleh penjenayah. Sekiranya kedua-dua tangan anda menjinjit barangan, peluang anda bertindak balas adalah terhad dan anda akan tergamam untuk beberapa ketika. Penjenayah lebih mudah mengambil peluang ketika kedua-dua tangan anda sarat dengan barang. Jika terpaksa membeli banyak barangan. Letakkan barang yang telah dibeli di dalam kereta terlebih dahulu sebelum menyambung pembelian anda. Jika banyak barangan yang dibeli, minta bantuan pekerja kedai untuk membawanya ke kenderaan anda.
Asingkan duit untuk membeli barangan secara rahsia.
Sentiasa perhatikan kad kredit anda ketika membayar kepada jurujual. Tandatangan secepat mungkin kad kredit anda ketika dihulurkan resit. Jika anda tidak berhati-hati, jurujual mempunyai peluang menggunakan maklumat kad kredit untuk membuat kad kredit palsu atau memalsukan maklumat kewangan anda untuk digunakan dalam penipuan, ugutan atau sebagainya.
Simpan resit kad kredit di tempat yang selamat. Resit kad kredit mengandungi maklumat kad kredit dan tandatangan anda. Ia boleh digunakan untuk memalsukan kad kredit dan melakukan penipuan.
Periksa bil anda dan pastikan jumlah bayaran sama dengan yang terdapat pada bil. Pastikan harga setiap barang yang anda beli sama dengan yang dilabelkan pada barang dan tidak terdapat penambahan barang yang tidak anda beli pada bil tersebut yang menyebabkan anda membayar lebih daripada harga yang sebenar. Jika anda tidak berhati-hati, jurujual mungkin akan menambah barang yang tidak anda beli atau meletakkan harga lebih mahal daripada label yang dipamerkan tanpa anda sedari.
Temujanji Pertama
Rancang cara hendak balik sama ada menempah teksi atau minta rakan yang anda percayai menghantar dan mengambil anda. Jangan minta teman baru anda menghantar anda pulang dan jangan menjemput teman baru anda untuk datang ke rumah.
Rancang tempat pertemuan di tempat terbuka dan selamat dan di waktu siang. Rancangkan untuk bertemu di tempat awam
Pakai pakaian yang sopan. Jangan memakai pakaian yang seksi dan mencolok mata.
Jaga adab pertuturan dan tingkah laku anda. Jangan menyinggung hati teman baru anda dengan sindiran tajam, perkataan tidak baik dan perbuatan yang boleh menimbulkan kemarahan
Jangan dedahkan maklumat peribadi anda terlalu banyak. Jangan beritahu di mana anda tinggal.
Jangan beritahu bahawa anda tinggal berseorangan
Jangan cepat bersetuju untuk menjadi pasangan kekasih. Anda perlu berhati-hati memilih pasangan. Anggaplah sebagai kawan dahulu. Perhatikan perangainya dan periksalah latar belakangnya.
Ragut dan Ugut
Sekiranya cuba diragut, segera menjerit meminta pertolongan. Perhatian orang ramai akan tertumpu pada anda dan peragut akan melarikan diri sebelum sempat meragut anda. Peragut mungkin tidak sempat melarikan diri jika orang ramai cepat membantu anda.
Serahkan barangan atau wang anda jika diugut. Jangan cuba melawan. Keselamatan nyawa dan tubuh badan anda lebih bernilai jika dibandingkan dengan harta benda anda.
Jika diragut, lepaskan beg tangan anda. Kenalpasti rupa, bangsa dan nombor pendaftaran kenderaan peragut, tempat diragut dan arah peragut melarikan diri. Kemudian laporkan kepada polis.
Riadah
Cuti hujung minggu mungkin merupakan masa yang diluangkan untuk berehat bersama keluarga. Ia juga mungkin masa untuk anda bersenam menjaga kesihatan badan. Pastinya anda tidak mahu ia menjadi detik sedih yang tidak mampu dilupakan.
Tetapkan sempadan keselamatan untuk anda bersenam di luar rumah dan jangan melebihi sempadan tersebut. Kenali kawasan tersebut. Pastikan anda mengetahui cara-cara menangani jenayah di kawasan senaman dan tempat untuk mendapatkan bantuan.
Bersenamlah bersama rakan anda. Jangan bersenam berseorangan. Ia adalah untuk memastikan keselamatan anda dan membolehkan anda mendapat bantuan yang sepatutnya ketika diserang penjenayah.
Bersenamlah pada waktu siang. Jangan bersenam di kawasan yang gelap dan terlindung. Pandangan orang ramai akan menyelamatkan anda. penjenayah cuba mengelakkan pandangan orang ramai ketika melakukan jenayah.
Jangan bersenam di kawasan tempat letak kenderaan, tempat pembuangan sampah dan kawasan jenayah. Tempat-tempat seperti ini sering menjadi tempat persembunyian penjenayah untuk mengintip perlakuan mangsa dan keadaan sekeliling sebelum melakukan jenayah. Ia menyediakan tempat-tempat yang tersorok.
Jangan memakai headphone atau mendengar walkman ketika bersenam. Anda akan leka dan tidak prihatin terhadap persekitaran ada. Anda tidak akan menyedari penjenayah yang menghampiri anda terutama dari arah belakang dan tepi.
Hala berjoging atau berjalan cepat bertentangan dengan hala kenderaan. Anda menyedari kenderaan yang datang ke arah anda. Jika ada kenderaan yang terbabas, anda menyedarinya dan boleh berusaha untuk mengelakkannya.
Berkelah
Pilih tempat yang ramai orang. Duduk bersebelahan dengan orang-orang yang boleh dipercayai, berkenalan dengan mereka dan minta untuk memerhatikan barangan anda sebelum anda berenang.
Bawa barangan yang murah dan tinggalkan barangan yang berharga di rumah. Bawa bekas yang kecil dan kalis air untuk mengisi barangan penting anda dan bawa berenang bersama. Beg yang boleh diikat di pinggang, tangan atau leher.
Sentiasa awasi anak-anak anda untuk mengelakkan lemas dan diculik.
Sekiranya tidur atau berjemur, gunakan beg sebagai bantal. Ia menyukarkan penjenayah untuk mengambil beg anda ketika anda sedang tidur atau tidak menyedarinya.
Pastikan beg tertutup dan berzip. Ia mengelakkan barangan daripada terdedah dan menarik pandangan penjenayah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan