Selasa, 1 September 2009

PENGANGKUTAN AWAM

Pengangkutan awam memberikan khidmat kepada orang ramai untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain dengan cepat dan mudah. Pengangkutan awam mungkin menjadi sebahagian hidup anda atau pengalaman yang jarang-jarang anda tempuhi. Melakukan perjalanan bersama individu yang tidak dikenali memerlukan anda membuat pertimbangan dan perancangan. Bas, keretapi, dan teksi menghasilkan cabaran yang berbeza.

 

            Panduan berikut mungkin boleh menolong anda mengekalkan keadaan selamat untuk diri anda. 

 

Teksi

 

Dapatkan teksi dengan menghubungi syarikat teksi yang dikenali. Reputasi syarikat teksi adalah bergantung kepada prestasi dan sikap pemandu yang bernaung di bawahnya. Reputasi yang baik boleh menunjukkan pemandu yang bertanggungjawab dan bukan penjenayah.

 

Jangan naik teksi yang diragui. Percaya dan ikut naluri anda. Naluri anda dirangsang oleh pelbagai persekitaran yang munasabah. Naluri anda adalah petanda amaran kepada keyakinan anda

 

Jangan berkongsi teksi melainkan anda kekurangan wang dan tiada cara lain. Penumpang yang lain mungkin merupakan rakan pemandu teksi untuk melakukan jenayah terhadap anda. Jika anda terpaksa berkongsi, pastikan penumpang lain tidak bersubahat dengan pemandu teksi.

 

Apabila berkongsi teksi, pastikan penumpang lain tidak mengambil barangan anda ketika turun. Apabila penumpang lain turun dan mengambil barangan di bonet, pastikan anda bersama memerhatikannya supaya dia tidak mengambil barangan anda atau tertukar beg dengan anda.

 

Pastikan pemandu teksi mempamerkan tag pengenalan teksi. Memastikan bahawa pemandu teksi bukan penjenayah yang menyamar.

 

Pastikan teksi mempunyai meter dan ia berfungsi dengan baik. Jangan biarkan pemandu teksi menipu anda dengan bayaran yang lebih mahal.

 

Pastikan beg-beg sentiasa berada berhampiran anda terutama barangan berharga. Sekiranya barangan anda boleh dibawa masuk ke dalam teksi, bawalah masuk bersama. Jangan letakkan di dalam bonet, kerana jika berlaku pertelingkahan barangan di bonet akan dilarikan setelah anda turun. Sekiranya ada barang di bonet, bayar tambang setelah semua barang diturunkan. Mintalah bantuan pemandu teksi supaya turut sama menurunkan barang anda. Selain cepat ia adalah cara mengelakkan pemandu teksi melarikan barang anda sebelum sempat menurunkan barang.

 

Duduk di tempat duduk belakang di belakang pemandu teksi. Iaitu di sebelah kanan tempat duduk belakang kerana jika pemandu teksi adalah penjenayah yang bercadang untuk merompak dengan mengacukan senjata, dia terpaksa berhenti terlebih dahulu untuk berpaling. Ini memberi peluang kepada anda untuk bertindak mempertahankan diri atau melarikan diri.

 

Jangan menerima makanan atau minuman daripada pemandu teksi. Mungkin makanan atau minuman tersebut bercampur dengan bahan yang mengkhayalkan yang menyebabkan anda tidak sedar diri dan memudahkannya melakukan jenayah.

 

Jangan dedahkan maklumat diri anda kepada pemandu teksi. Pemandu teksi boleh mendedahkan maklumat ini kepada penjenayah atau dia sendiri menggunakannya untuk melakukan jenayah.

 

Beri perhatian arah tujuan  teksi semasa anda menaikinya. Jika dia melalui jalan yang salah, jangan biarkan, tegur segera. Jika dia tetap meneruskannya dan tidak mahu berhenti, hubungi polis dengan telefon bimbit anda.

 

Sediakan wang kecil sebelum menaiki teksi.

 

Pastikan anda menyimpan wang yang cukup untuk menaiki teksi dan simpan berasingan dengan wang yang lain. Ini boleh menjamin keselamatan anda ketika bekerja lebih masa dan terpaksa pulang lewat. Wang yang diasingkan boleh digunakan untuk membayar tambang teksi ketika kecemasan dan memastikan anda tidak terguna wang yang diperuntukkan untuk tambang itu.

 

Ketika anda menghubungi syarikat teksi, pastikan tiada orang asing mendengar percakapan anda ketika memberikan nama dan destinasi anda. Penjenayah yang mendengar percakapan anda akan mengekori anda atau menyamar sebagai pemandu teksi atau bersubahat dengan pemandu teksi untuk melakukan jenayah.

 

Minta syarikat teksi memberikan nama pemandu dan nombor pendaftaran teksi yang akan mengambil anda. Sebelum masuk ke dalam teksi, tanya nama dan nombor pengenalan pemandu.

 

Apabila sudah berhampiran dengan rumah anda, bersedia dengan wang tambang dan kunci rumah untuk cepat memasuki rumah. Jangan turun daripada teksi betul-betul di hadapan rumah anda. Ia mencegah penjenayah yang menyamar sebagai pemandu teksi mengetahui kediaman anda. Berhenti dan turun daripada teksi di tempat yang selamat. Pilihlah kawasan yang terang dan ramai orang.

 

Bas dan Keretapi

 

Letakkan barangan anda di celah kaki anda dan sentiasa perhatikannya. Kedudukan sebegini menyukarkan penjenayah untuk melarikan barangan anda tanpa disedari.

 

Perhatikan keadaan di dalam bas ketika mula-mula menaiki bas. Pastikan anda berasa yakin dan tenteram dengan suasananya. Jika anda berasa tidak selamat, turunlah di perhentian yang seterusnya atau duduk berhampiran dengan pemandu. Nilai mereka yang berada dalam bas berdasarkan kelakuan mereka.

 

Pilih tempat duduk yang berhampiran dengan pintu keluar. Anda boleh keluar dengan segera jika kecemasan berlaku. Walau bagaimanapun jika bas sesak dengan penumpang dan boleh menyebabkan penjenayah meragut barang anda dengan mudah dan keluar melarikan diri maka pilihah tempat duduk yang berjauhan sedikit daripada pintu keluar.

 

Pilih tempat duduk di bahagian luar berhampiran lorong laluan. Jika bas tidak dipenuhi penumpang, anda boleh meletakkan barangan anda di kerusi yang kosong di sebelah dalam. Cara ini menyukarkan penjenayah meragut barangan anda. ia juga memudahkan anda bergerak keluar jika berlaku kecemasan. 

 

Letakkan barangan berharga anda di atas riba dan letakkan tangan di atasnya. Salah satu cara yang baik untuk melindungi barangan anda dan  mengelakkan penjenayah meragut barangan anda.

 

Sentiasa perhatikan keadaan sekeliling dari masa ke masa. Ia menunjukkan bahawa anda sentiasa berwaspada. Jika ada yang mencurigakan, bersedialah untuk menjerit meminta pertolongan.

 

Sebelum turun daripada bas pastikan yang semua barangan anda ada bersama anda. Jangan sampai anda tercicir barangan.

 

Apabila melangkah di lorong laluan, pegang barangan anda di hadapan. Jangan memegang barangan di bahagian tepi dan belakang kerana memudahkan pencuri menyeluk barangan anda di dalam beg yang terbuka. Anda dapat melihat apa yang terjadi pada barangan anda jika memegang barangan di hadapan.

 

Semasa membeli tiket, jangan pamerkan wang tunai anda. Sediakan wang yang secukupnya terlebih dahulu sebelum menuju ke kaunter tiket. Penjenayah sentiasa memerhatikan mangsa di kaunter tiket.

 

Pamerkan keyakinan,sentiasa berwaspada dan jangan kelihatan seperti pelancong.

 

Duduk di tempat duduk yang kosong di antara dua individu yang kelihatan selamat. Dengan cara ini anda telah memilih tempat duduk yang anda yakini selamat. Jika anda memilih tempat duduk yang kosong sepenuhnya, anda tidak tahu sipa yang akan duduk di sebelah anda nanti. Ada kemungkinan ia diduduki oleh penjenayah yang cuba mengganggu anda.

 

Pilih tempat yang terang dan bebas bergerak ketika menunggu bas. Jangan terperangkap dengan suasana yang sesak kerana sukar bagi anda melepaskan diri jika diekori. Kesesakan juga memudahkan penjenayah untuk menyeluk barangan anda dan melarikan diri tanpa disedari.

 

Pilih tempat menunggu yang berdekatan dengan pintu keluar. Jika kecemasan berlaku di platform, anda dapat keluar untuk menyelamatkan diri dengan mudah dan cepat.

 

Berdiri jauh daripada platform terutama ketika keadaan sesak. Ketika keadaan sesak dengan penumpang keluar masuk, penjenayah boleh mengambil kesempatan untuk meragut atau menyeluk barangan anda. Keadaan bersesak-sesak juga boleh mendatangkan kecederaan atau kemalangan seperti jatuh ditolak dan sebagainya.

 

Sekiranya ada pilihan tempat duduk, duduklah hampir di belakang pemandu atau hampir dengan butang kecemasan. Keselamatan anda lebih terjamin dan mudah mendapat pertolongan. Kedudukan begini menyebabkan  penjenayah berfikir panjang sebelum melakukan jenayah terhadap anda.

 

Elakkan duduk bersendirian di dalam gerabak atau gerabak yang ada lelaki sahaja. Anda terdedah kepada bahaya kerana berkemungkinan mereka semua adalah satu kumpulan yang melakukan jenayah. Jika seorang lelaki sahaja pun berbahaya kerana dia mungkin penjenayah yang menunggu mangsa berseorangan.

 

Jangan tidur di dalam bas atau keretapi. Tidur menghilangkan kewaspadaan terhadap persekitaran anda. Barangan anda boleh diambil oleh penjenayah yang duduk di sebelah anda tanpa anda dan orang lain menyedarinya. Anda juga boleh dicabul kerana anda tidak menyedari tinggal anda dan penjenayah sahaja berada di dalam bas atau geraak keretapi.

 

Jadilah orang yang terakhir untuk turun daripada bas atau keretapi. Jika anda berhenti di stesen jadilah orang yang terakhir turun untuk memastikan tiada penjenyah yang mengekori anda.

 

Sekiranya anda tidak selesa terasa diekori di dalam bas atau keretapi, jangan turun. Kekal bersama dengan orang lain dan cuba untuk mendapatkan bantuan. Dekatkan diri anda dengan kumpulan manusia apabila turun daripada bas atau keretapi. Jangan bersendirian. Jangan cuba melarikan diri seorang diri.Penjenayah akan mengekori anda dan menunggu peluang sehingga anda bersendirian untuk melakukan jenayah terhadap anda. Berjalan bersama orang lain dalam satu kumpulan menyukarkan penjenayah untuk melaksanakan hajat mereka.

 

Sekiranya anda dihampiri oleh orang yang meragukan, cepat bergerak ke tempat lain. Jangan sampai terperangkap. Bergeraklah ke tempat yang selamat dan menakutkan penjenayah seperti ke pondok polis atau pengawal keselamatan.

 

Sekiranya anda tidak boleh bergerak atau dia cuba menyerang anda, menjeritlah dengan kuat meminta bantuan. Tarik perhatian orang ramai terhadap anda. Penjenayah akan ragu-ragu meneruskan niatnya kerana perhatian orang ramai terhadap anda membolehkan anda mendapat pertolongan.

 

Sekiranya anda melihat beg yang meragukan ditinggalkan, cari pengawal keselamatan atau polis dan tunjukkan beg itu kepada mereka. Jangan hampiri beg tersebut. Tunjukkan kepada pihak berkuasa dan biarkan mereka melakukan siasatan. Jangan hubungi pihak berkuasa menggunakan telefon bimbit kerana telefon bimbit boleh digunakan sebagai pemangkin letupan.

Tiada ulasan: