Ramai individu dewasa menghabiskan sebahagian besar masa di tempat kerja tanpa memberikan perhatian kepada keadaan keselamatannya. Namun jenayah dan kemalangan tidak pernah mengecualikan tempat kerja dan persekitarannya.
Panduan berikut meminta anda menganalisa kembali keselamatan anda sewaktu berkhidmat menjalankan tugas.
Pergi dan Balik Kerja
Rancang perjalanan anda daripada segi waktu dan jalan yang dilalui. Lakukan kenalpasti perjalanan pada waktu siang dan malam. Lakukan kenalpasti pada waktu malam bersama rakan Ulang beberapa kali sehingga anda benar-benar pasti. Pastikan tempoh perjalanan yang diambil terutama ketika waktu kesesakan jalan raya paling teruk. Ia akan membantu anda untuk menjangka waktu bertolak daripada rumah yang sesuai agar dapat tiba di tempat kerja tepat pada waktunya. Ia akan menghindarkan anda daripada tergopoh-gapah yang boleh mengakibatkan kemalangan berlaku. Selain itu kenalpasti kawasan yang boleh membahayakan diri anda dan tempat untuk meminta tolong jika berlaku kecemasan. Pilihlah jalan yang paling kurang kawasan bahaya dan banyak tempat meminta tolong walaupun jarak perjalanannya lebih jauh. Ini adalah untuk keselamatan anda. Anda akan berjalan di laluan itu selalu, oleh itu berkenalanlah dengan orang-orang di sekitarnya. Ia akan memudahkan anda meminta bantuan sekiranya berlaku kecemasan terhadap diri anda.
Jangan berjalan di tempat yang gelap dan sunyi. Sewaktu merancang perjalanan, keadaan kawasan yang dilalui hendaklah diambil kira. Elakkan tempat yang sunyi, gelap dan jauh daripada orang ramai. Tempat-tempat seperti ini berpotensi menjadi sarang penjenayah melakukan jenayah kerana sukar bagi mangsa untuk mendapatkan bantuan apabila berada di kawasan ini.
Sekiranya terpaksa melalui tempat yang gelap dan sunyi, berjalanlah di tengah-tengah lorong. Jika anda tidak mempunyai pilihan jalan lain melainkan laluan yang gelap dan sunyi, jangan berjalan di tepi menyusuri lorong. Ia bertujuan mengelakkan anda daripada diterpa secara tiba-tiba oleh penjenayah yang bersembunyi di sebalik bangunan. Berjalanlah di tengah lorong kerana apabila diterpa penjenayah secara tiba-tiba, ada ruang untuk anda melarikan diri.
Rancangkan untuk berjalan bersama dengan rakan yang dipercayai sama ada dengan pengangkutan awam atau berkongsi kenderaan persendirian. Jika terdapat rakan sekerja atau yang bekerja berdekatan dengan tempat kerja anda dan tinggal bersama atau berhampiran dengan anda, berbincanglah dengan mereka untuk pergi dan balik kerja bersama. Sekiranya anda menggunakan kenderaan persendirian, ia dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas selain daripada meningkatkan tahap keselamatan anda. Penjenayah sering memilih mangsa yang bersendirian.
Jika anda memandu kenderaan sendiri untuk berulang-alik ke tempat kerja, ketika turun ke tempat parkir kenderaan, berjalanlah bersama rakan sekerja. Tempat parkir kenderaan di bangunan-bangunan sering menjadi kawasan tumpuan penjenayah untuk memburu mangsa kerana keadaannya yang tertutup dan sunyi. Kekurangan pengawal keselamatan pula menjadikan tempat ini berbahaya akibat kawalan keselamatan yang tidak menyeluruh. Berjalan bersama rakan di tempat parkir dapat mengurangkan risiko diserang penjenayah kerana penjenayah lebih suka memilih mangsa yang berseorangan kerana lebih mudah diserang.
Tempat Kerja
Pastikan tempat kerja mempunyai peti pertolongan cemas. Pastikan peti pertolongan cemas lengkap dengan peralatannya. Jika berlaku kemalangan di tempat kerja anda, alatan di dalam peti pertolongan cemas dapat digunakan untuk memberi bantuan awal kecemasan sebelum pesakit dibawa ke hospital.
Pastikan pintu rintangan api sentiasa tertutup. Jika berlaku kebakaran, kemaraan api boleh dilengahkan daripada terus membakar dengan cepat. Pintu rintangan api menghalang angin yang menjadi agen penting memarakkan api kebakaran.
Pastikan majikan mempunyai pelan kecemasan termasuk latihan kawat kecemasan dan pemadam api. Perkara ini penting untuk memastikan bencana yang mungkin berlaku dapat dihadapi dalam keadaan teratur. Ia dapat menghindarkan atau mengurangkan berlakunya kemalangan jiwa. Setiap pekerja perlu mempelajarilah cara penggunaan pemadam api untuk memadamkan kebakaran kecil sebelum ia marak dan mengakibatkan kebakaran yang lebih besar.
Apabila loceng kebakaran berbunyi, ambil perhatian serius sepenuhnya. Ikuti arahan yang diberikan majikan atau ketua. Cuba bertenang dan jangan panik. Keluar bangunan secepat mungkin dengan teratur. Jangan kelam kabut dan bertolak-tolak kerana ia akan mengakibatkan kemalangan lain seperti terjatuh dan terpijak berlaku. Jangan berhenti dan sibuk mengambil barangan peribadi. Ingat nyawa anda lebih berharga daripda harta benda. Jangan gunakan lif. Ini ingatan penting. Apabila berlaku kebakaran penjana lif mungkin terbakar dan mengakibatkan lif terhenti. Ini mengakibatkan terperangkap di dalam lif. Selain itu lif akan dipenuhi dengan asap kebakaran dan mengakibatkan kesesakan nafas kepada orang yang berada di dalam lif. Bantulah rakan yang memerlukan pertolongan. Berkumpul di tempat perhimpunan yang ditetapkan ketika kawad kecemasan. Di sini ketua akan mengira ahli yang berkumpul untuk mengetahui sama ada semua ahli selamat atau masih ada yang terperangkap di dalam kebakaran. Laporan akan diberikan kepada ahli bomba yang bertugas untuk tindakan menyelamat. Jangan keluar daripada tempat berkumpul kerana ia akan menyebabkan tindakan menyelamat sia-sia. Jangan masuk kembali ke dalam bangunan kecuali setelah disahkan selamat
Periksa surat dan bungkusan sebelum membuka
Ø Alamat ditulis atau ditaip dengan betul
Ø Bahan berminyak atau serbuk di sampul surat atau bungkusan
Ø Setem luar negara
Ø Tanda-tanda seperti sulit, persendirian
Ø Alamat pengembalian surat
Ini adalah untuk memastikan ia diterima oleh orang yang betul dan mengelakkan anda tersalah buka seterusnya didakwa atas kelalaian tersebut. Ia juga adalah langkah berjaga-jaga dengan mengenali pengirim surat. Ia dapat mengelakkan bahan-bahan bahaya seperti virus Antraks disebarkan.
Berhadapan dan berterus terang dengan pembuli di tempat kerja. Tunjukkan keyakinan diri anda. Ini membuatkan pembuli akan menghormati anda dan berfikir kembali akan kelakuannya. Ia akan menyedarkannya bahawa tindakannya tidak disenangi.
Laporkan kejadian kepada majikan atau jabatan pengurusan sumber manusia. Jika pembuli mengulang kembali kelakuannya dan meneruskannya, berikan amaran bertulis dan hantar salinannya kepada majikan atau jabatan pengurusan sumber manusia untuk diambil tindakan. Perincikan setiap kelakuan pembuli terhadap anda dan simpan rekodnya sebagai rujukan sekiranya kes pembuli dibicarakan. Jika anda dibuli oleh majikan anda sendiri, buat laporan kepada pihak yang bertanggungjawab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan