Melancong adalah salah satu aktiviti yang menyeronokkan untuk merehatkan diri dan melepaskan tekanan yang dihadapi. Selain itu ia menambah pengetahuan. Walau bagaimanapun soal keselamatan tidak boleh dilalaikan kerana ia menyebabkan anda mengalami masalah yang besar. Tidak semua tempat pelancongan menjadi destinasi yang selamat untuk para pelancong.
Perhatikan langkah-langkah berikut sebagai persediaan anda untuk memastikan saat indah anda tidak terganggu.
Persediaan
Buat perancangan terperinci mengenai perjalanan sebelum bertolak. Tentukan destinasi pilihan, tempoh dan masa perjalanan, cara perjalanan, masa pergi dan balik. Keselamatan rumah, orang yang ditinggalkan dan penjaganya.
Gunakan khidmat agensi pelancongan sekiranya ke destinasi baru. Jika anda memerlukan maklumat yang lengkap berkaitan dengan destinasi yang tidak pernah anda kunjungi, hubungilah agensi pelancongan untuk mendapatkan nasihat dan panduan atau layari laman web yang berkaitan.
Buat salinan aturcara perjalanan anda dan serahkan kepada ahli keluarga yang tinggal. Laporkan perjalanan anda dan beritahu di mana anda telah sampai kepada keluarga di rumah. Begitu juga jika berlaku sebarang perubahan dalam aturcara perjalanan anda, beritahu mereka yang berada di rumah. Ini untuk membolehkan mereka mengetahui di mana anda boleh dihubungi sekiranya berlaku kecemasan di rumah anda sewaktu ketiadaan anda. Begitu juga jika sesuatu kecemasan berlaku kepada anda, ahli keluarga anda mengetahui di mana anda berada.
Kaji dan fahami adat dan budaya destinasi anda. Tampilkan diri anda seperti orang tempatan. Kaji dan fahami undang-undang dan peraturan. Tiada keistimewaan untuk terlepas daripada undang-undang bagi pelancong. Anda perlu mematuhi undang-undang destinasi anda. Mungkin terdapat perbezaan antara undang-undang destinasi anda dengan undang-undang Malaysia. Beri perhatian dan patuh kepada larangan mengambil gambar, membuang sampah, memijak rumput dan sebagainya.
Gunakan khidmat pejabat kedutaan. Selain agensi pelancongan, anda boleh ke kedutaan negara destinasi anda untuk mendapatkan maklumat lanjut dalam menyusun perancangan anda.
Sekiranya melancong ke luar negara dan menghadapi masalah, rujuk kepada pejabat kedutaan Malaysia di negara tersebut. Sebelum anda memulakan perjalanan, cuba dapatkan nombor telefon dan alamat kedutaan Malaysia di negara destinasi anda. Kedutaan Malaysia akan membantu anda jika anda mempunyai masalah di negara tersebut.
Berhati-hati dengan orang yang tidak dikenali walaupun kanak-kanak. Mereka mungkin menjadikan anda sebagai sasaran jenayah atau cuba menipu anda.
Sentiasa bawa tanda pengenalan diri anda seperti pasport. Simpan di tempat yang selamat dan sukar dicuri seperti saku dalam atau beg pinggang dan diletakkan dalam baju anda. Pasport adalah pengganti kad pengenalan anda ketika di luar negara. Oleh itu ia perlu sentiasa dibawa sebagai pengenaan diri.
Sediakan salinan pasport anda dan simpan di hotel. Jika paspot anda hilang, salinan boleh dijadikan sebagai rujukan dan memudahkan urusan ketika anda melaporkannya ke kedutaan Malaysia.
Berhati-hati di tempat yang sibuk. Kealpaan anda di pasar, pesta dan sebagainya boleh menyebabkan anda ditipu atau diragut tanpa menyedarinya. Penjenayah sentiasa menunggu anda terleka untuk melakukan jenayah.
Jangan melawan sekiranya anda diugut. Ingat bahawa nyawa anda lebih berharga daripada harta. Jika anda melawan dan berjaya, penjenayah akan membawa lebih ramai rakan mereka untuk membelasah anda.
Berhati-hati dengan wang anda. Bawalah kad kredit atau cek kembara. Jangan membawa wang yang terlalu banyak. Bawalah sekadar mencukupi untuk membeli barangan yang diperlukan dan diinginkan sahaja. Jika di pasaraya, penggunaan kad kredit atau cek kembara adalah lebih selamat dan praktikal kerana ia tidak boleh diakses dengan mudah.
Simpan salinan nombor kad kredit dan cek kembara dan nombor telefon untuk dihubungi dengan tujuan untuk menggantikannya.
Bawa barangan berharga di dalam saku yang tersembunyi atau beg pinggang. Jangan keluar dengan memakai barang kemas atau barangan berharga yang tidak perlu. Jika anda membeli barangan berharga, sembunyikannya dan segera kembali ke hotel untuk menyimpannya.
Periksa perlindungan insuran. Perhatikan perkara yang dilindungi terutama kesihatan dan kemalangan. Cubalah dapatkan insuran yang melindungi setiap aspek ketika anda melancong.
Pastikan dokumen-dokumen penting yang ditinggalkan di rumah jelas kedudukannya kepada keluarga yang tinggal. Memudahkan mereka mencari dan menguruskannya jika anda mendapat kemalangan ketika melancong.
Bawa ubat-ubatan yang mencukupi sepanjang percutian dan bawa dalam peket yang asal. Ubat-ubatan yang mencukupi mesti termasuk dalam perancangan anda. Jangan sampai anda keputusan ubat ketika melancong kerana ubat-ubatan anda mungkin tidak terdapat di tempat itu. Bawa dalam peket yang asal untuk mengelakkan masalah pemeriksaan keselamatan. Jika anda memerlukan ubat yang khusus atau jarum suntikan, bawalah surat pengesahan doktor dan jelaskan penggunaan dan penyakit anda
Perjalanan
Bawa rekod pendaftaran dan insuran kenderaan anda. Jika anda melancong menggunakan kenderaan persendirian, dokumen tersebut penting untuk pemeriksaan kastam.
Pandu kenderaan mengikut had laju yang ditetapkan. Jangan melebihi had laju kerana anda akan menghadapi masalah dengan pihak berkuasa destinasi anda seperti polis atau majlis tempatan.
Bawa barangan keperluan semasa kecemasan yang secukupnya. Anda tidak tahu apa akan terjadi pada diri anda. oleh itu jangka sebarang masalah dan bersedia menghadapinya. Ia akan mengurangkan risiko anda.
Bawa set kunci gantian pada diri anda. Sekiranya kunci kenderaan anda hilang, anda akan menggunakannya sebagai gantian untuk memandu kenderaan sebelum menukar kunci tersebut. Jika anda pulang ke rumah tetapi mendapati keluarga di rumah telah keluar, anda boleh menggunakan kunci gantian yang ada pada anda.
Tukar kunci kenderaan anda jika ia hilang. Mungkin penjenayah berjaya mendapat kunci tersebut dan ia akan digunakan untuk melarikan kenderaan anda.
Bawa telefon bimbit dan pengecas bateri kembara. Telefon bimbit penting untuk digunakan ketika kecemasan. Pengecas bateri kembara membolehkan anda mengecas bateri ketika memandu. Ia memastikan telefon bimbit anda tidak kehabisan kuasa bateri pada saat kecemasan.
Susila
Jangan tampilkan diri anda seperti pelancong yang melawat tempat yang baru. Perlihatkan diri anda seperti biasa dan tahu akan tempat yang dilawati. Keadaan anda yang seperti pelancong yang baru akan menarik perhatian penjenayah untuk menipu atau cuba untuk melakukan jenayah terhadap anda. Anda lebih mudah dikenali jika anda bersikap demikian. Jangan menggantung kamera di leher. Jangan menuding jari pada setiap yang anda lihat. Jangan mengkaji peta di tempat awam. Jangan memakai topi atau baju cenderamata sehingga anda pulang ke rumah
Jangan memberi sedekah secara terbuka. Ini menyebabkan peminta sedekah yang lain memburu anda untuk mendapatkan wang. Ia juga menarik perhatian penjenayah untuk mengekori anda kerana dia tahu bahawa anda membawa wang.
Tukar mata wang ringgit kepada mata wang negara destinasi anda sebelum berlepas menaiki kapal terbang. Ini memudahkan urusan anda setibanya anda di destinasi pelancongan anda. Urusan-urusan berkaitan dengan kastam atau pengangkutan awam di destinasi anda mungkin memerlukan wang dan ada kemungkinan mata wang ringgit tidak diterima.
Cek Kembara
Gunakan cek kembara sewaktu melakukan pembayaran ketika perjalanan antarabangsa. Jika cek kembara hilang atau dicuri anda tidak rugi. Syarikat pengeluar cek kembara akan mengeluarkan cek kembara yang baru atas permintaan anda.
Tandatangan cek kembara sebaik sahaja anda menerimanya. Tanpa tandatangan, penjenayah boleh menggunakannya kerana tiada bukti cek itu kepunyaan anda dan kedua-dua tempat tandatangan diisi oleh tandatangan yang sama iaitu tandatangan pencuri.
Jangan tandatangan di tempat kedua sehingga anda mahu menunaikannya. Tandatangan kedua mengesahkan tandatangan pertama tadi. Jika sama maka cek itu boleh digunapakai. Sekiranya anda telah menandatangani kedua-dua tempat tandatangan dan cek itu dicuri maka cek itu sah ditunaikan atau digunakan.
Salin nombor cek kembara dan simpan salinan berasingan daripada buku cek. Simpan nombor telefon untuk dihubungi jika cek hilang. Hubungi pihak yang berkenaan untuk membatalkan cek secepat mungkin bagi mengelakkan cek itu ditunaikan atau digunakan penjenayah. Minta pihak tersebut mengeluarkan buku yang baru dan mengirimkannnya kepada anda secepat mungkin.
Jangan bawa semua cek kembara atau wang serentak. Bawa sejumlah yang diperlukan sahaja
Lapangan Terbang
Ketika meletakkan beg, posisikan di celah kaki. Pencuri sukar untuk mengambil beg anda dalam keadaan begini. Jangan letak di sebelah luar kaki kerana mudah diambil penjenayah ketika anda tidak menyedarinya. Ia juga boleh menyebabkan anda tertukar dengan orang yang di sebelah anda jika beg kelihatan serupa. Perkara ini boleh menjadi helah penjenayah
Pilih kapal terbang yang melakukan perjalanan tanpa henti. Elakkan daripada singgah sebentar atau transit di lapangan terbang yang asing pada anda. Selain melambatkan waktu perjalanan anda, penerbangan seperti ini juga menyebabkan anda terpaksa ke bilik menunggu yang anda tidak tahu situasinya. Bagasi anda juga boleh tertukar kapal terbang dan tidak sampai ke destinasi bersama anda.
Sentiasa awasi beg-beg anda ketika melaui pemeriksaan keselamatan. Kadangkala ada pemeriksa yang berniat jahat untuk memasukkan sesuatu barang yang tidak sah di sisi undang-undang ke dalam beg anda untuk menganiayai anda.
Lepasi pemeriksaan keselamatan secepat mungkin dan tunggu di pintu perlepasan. Penjenayah biasanya menjalankan aktiviti di kawasan yang kurang kawalan keselamatan kerana lebih mudah melarikan diri.
Simpan dan bawa dokumen-dokumen penting bersama-sama ke mana sahaja anda bergerak. Jangan simpan di dalam beg. Anda akan menggunakan dokumen-dokumen tersebut untuk pemeriksaan dan sebagainya. Simpan dengan baik, jangan tergantung atau terjulur keluar kerana ia mudah terjatuh dan menarik perhatian penjenayah untuk mencapainya.
Kuncikan semua beg anda dan pastikan nama dan alamat anda ditulis pada beg tersebut.
Bertanyalah kepada pramugari tentang situasi dan langkah keselamatan di destinasi anda. Pramugari biasanya mengetahui dan berpengalaman tentang destinasi anda dan mereka telah dilatih untuk sentiasa selamat dan berjaga-jaga. Mereka mempunyai maklumat yang berharga untuk anda.
Jangan terima pelawaan daripada pihak yang tidak berlesen untuk memandu pelancong di lapangan terbang. Mereka mungkin penjenayah yang mengambil peluang untuk memperdaya dan melakukan jenayah terhadap anda. kejahilan anda tentang destinasi boleh membuatkan anda tertipu dan terperangkap. Pilih pengangkutan teksi yang berlesen yang mempunyai tanda-tanda pengenalan tertentu yang dicadangkan oleh pihak lapangan terbang.
Kereta Sewa
Pilih model kereta yang biasa digunakan oleh penduduk tempatan. Elakkan diri anda daripada menjadi perhatian penjenayah. Menggunakan kereta yang asing pada penduduk setempat seperti memberitahu bahawa anda adalah pelancong asing.
Pastikan tiada tanda menunjukkan ia kereta sewa. Jika ada, berbincanglah dengan agensi terbabit dan nyatakan sebab untuk menanggalkan tanda tersebut. Tanda kereta sewa mendedahkan bahawa pemandunya adalah pelancong dan ia akan menarik perhatian penjenayah terhadap pemandunya.
Baca dokumen insuran dan penyewaan sebelum meninggalkan agensi kereta sewa. Jangan tertipu dengan pakej yang dinyatakan secara lisan oleh pihak agensi. Semak segala dokumen terlebih dahulu sebelum menandatanganinya.
Pastikan nombor kecemasan yang diberikan betul. Cubalah mendail nombor kecemasan yang diberikan sebelum anda meninggalkan agensi tersebut untuk memastikan ia boleh dihubungi ketika kecemasan.
Pastikan anda mempunyai peta tempatan dan memahami undang-undang trafik tempatan untuk mengelakkan masalah.
Hotel
Bawa semua barangan anda ke dalam hotel atau tempat penginapan anda. Jangan tingggalkan barang di dalam kenderaan. Barang anda lebih selamat di dalam bilik penginapan anda daripada berada di dalam kenderaan kerana ia mampu menarik perhatian penjenayah untuk memecah masuk kenderaan anda
Pilih hotel yang mempunyai persekitaran yang selamat dan mempunyai reputasi yang baik dalam aspek keselamatan. Bertanyalah pada rakan-rakan yang mengetahuinya dan jika anda tidak pasti akan reputasinya, hubungi agen pelancongan untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan. Kemudian hubungi hotel tersebut dan tanyalah beberapa soalan yang berkaitan dengan keselamatan seperti kawalan keselamatan 24 jam, kamera litar tutup dan penggunaan kunci kad.
Tempah bilik yang berada antara tingkat dua hingga tingkat tujuh. Secara umumnya bilik-bilik di tingkat inilah yang paling selamat kerana bilik di tingkat bawah mudah dimasuki melalui tingkap atau balkoni dan bilik di tingkat yang tinggi berbahaya jika kecemasan seperti kebakaran berlaku. Bantuan sukar sampai dalam masa yang singkat.
Pilih bilik yang berjauhan dengan tangga dan lif. Penjenayah sering bersembunyi di lif atau tangga, menunggu peluang untuk menerpa masuk ketika penghuni sedang membuka pintu untuk keluar masuk. Penghuni bilik yang berhampiran tangga dan lif sering menjadi mangsa
Periksa penginapan anda. Pastikan ia selamat dan mempunyai kunci yang cukup untuk pintu dan tingkap. Kelalaian anda untuk memeriksanya memudahkan kerja penjenayah untuk memecah masuk penginapan.
Pastikan jalan keluar ketika menghadapi kecemasan. Kira bilangan pintu daripada bilik anda ke tangga. Sekiranya berlaku kebakaran, sukar untuk anda melihat dengan akibat halangan asap. Ketika itu anda hanya dapat memastikan jalan keluar ke tangga yang betul dengan mengira pintu daripada bilik anda ke tangga tersebut.
Apabila keluar, pastikan barangan anda dalam keadaan teratur. Jika bilik anda dicerobohi ketika anda keluar, anda dapat mengesannya dengan melihat barangan yang beralih kedudukannya.
Sewaktu kali pertama memasuki bilik, tahan pintu dengan beg atau kerusi, pasangkan lampu, periksa keseluruhan bilik. Periksa bilik, bawah katil, sebalik tirai dan dalam almari. Pastikan tiada sesiapa di dalam bilik itu, terutama yang disyaki cuba melakukan jenayah terhadap anda. Keadaan pintu yang terbuka memudahkan anda melarikan diri jika ada penjenayah yang cuba memerangkap anda.
Jangan dedahkan maklumat peribadi anda kepada sesiapa sama ada pekerja hotel atau pemandu. Ada penjenayah yang menyamar sebagai pekerja hotel untuk mendapatkan maklumat peribadi anda atau pekerja hotel bekerjasama dengan penjenayah untuk tujuan yang sama.
Ketika mendaftar masuk atau keluar hotel, pastikan barang-barang anda tidak terlepas daripada pandangan.
Jika menggunakan khidmat pengangkut barang berjalanlah di belakang mereka. Memudahkan anda mengawasi barangan anda daripada hilang tanpa disedari. Penjenayah boleh menyamar sebagai pengangkut barang untuk melarikan barangan anda.
Pastikan tiada orang di sekeliling sebelum membuka pintu. Jauhi daripada menjadi mangsa kepada penjenayah yang tiba-tiba menyerbu. Jika ada orang yang berhampiran anda, tunggulah sehingga mereka berlalu pergi terlebih dahulu sebelum anda membuka pintu.
Pastikan semua pintu bilik dikunci ketika anda berada di dalam bilik, termasuk pintu balkoni dan pintu yang menghubungkan dengan bilik sebelah. Ia untuk mengelakkan bilik anda mudah dicerobohi tanpa disedari ketika anda sedang tidur, mandi atau sebagainya.
Lihat dan tanya dulu sebelum anda membuka pintu bilik kepada sesiapa. Jika pekerja perkhidmatan bilik, pastikan kesahihannya. Penjenayah sering menggunakan taktik menyamar sebagai pekerja perkhidmatan bilik untuk masuk ke dalam bilik anda. Anda boleh bertanya kepada meja pendaftaran atau pengurusan hotel untuk memastikan kebenaran pekerja tersebut.
Jangan membawa orang lain ke bilik anda dan jangan beritahu orang lain bilik anda menginap. Pilihlah pertemuan di lobi hotel sahaja. Elakkan mengundang jenyah terhadap diri anda kerana bilik penginapan adalah tempat peribadi yang terlindung daripada pengawasan umum. Sukar bagi anda mendapatkan pertolongan jika jenayah berlaku di bilik anda oleh penjenayah yang anda jemput sendiri
Pastikan bilik anda dikemas oleh pekerja perkhidmatan bilik ketika anda berada di dalam bilik sahaja. Tutup peluang penjenayah yang menamar pekerja perkhidmatan bilik untuk menyelongkar atau mengambil barang anda ketika anda tiada di dalam bilik.
Kenalpasti kedudukan pintu dan tangga kecemasan di tingkat anda menginap. Anda tahu arah yang dituju untuk keluar jika berlaku kebakaran atau kecemasan lain.
Jika ada panggilan daripada pihak hotel meminta anda turun untuk berbincang perkara penting, hubungi meja pendaftaran untuk mengesahkannya. Jangan tertipu dengan penyamaran penjenayah yang mahu memerangkap anda.
Letakkan kerusi di belakang pintu untuk menyedarkan anda sekiranya bilik anda dicerobohi. Kerusi yang bergerak akibat pintu yang ditolak akan mengeluarkan bunyi yang bising dan penjenayah akan terkejut. Anda juga boleh tersedar dan bersedia menghadapinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan