Selasa, 1 September 2009

WARGA EMAS

Keselamatan

 

            Warga emas merupakan antara sasaran utama penjenayah terutama yang menggunakan teknik penyamaran. Ini disebabkan warga emas cepat mempercayai orang lain dan kurang berhati-hati. Sayangnya kejadian jenayah yang berlaku terhadap warga emas jarang dilaporkan kerana mereka berasa malu dan bersalah atas kesilapan mereka.

 

            Penjenayah sering menyamar sebagai jurujual, pekerja perkhidmatan baik pulih atau pemungut derma. Gunakan lubang di pintu untuk melihat orang asing yang mengetuk pintu rumah. Minta mereka memperkenalkan diri dan menunjukkan kad pengenalan pekerjaan. Hubungi syarikat yang berkenaan sebelum membenarkan mereka masuk untuk memastikan kebenarannya terlebih dahulu. Jangan biarkan orang asing tahu warga emas bersendirian di rumah. Minta mereka datang di lain masa ketika anda bersedia bersama ahli keluarga yang lain.

 

            Warga emas perlu berhati-hati dengan orang asing yang asyik bercakap di depan pintu rumah atau di persekitarannya. Mereka mungkin penjenayah yang cuba melekakan warga emas untuk memecah masuk ke dalam rumah. Jika mereka tetap tidak meninggalkan rumah anda setelah beberapa tempoh, hubungi pihak polis.

 

            Jika warga emas telah tertipu dengan perlakuan penyamar, jangan cuba untuk mencari syarikat bagi mendapatkan kembali wang, sebaliknya laporkan kepada polis dan persatuan pengguna.

 

Jika penjenayah berjaya memecah masuk dan berada di dalam rumah, keluar dari rumah secepat mungkin dan dapatkan bantuan jiran yang berhampiran dan hubungi pihak polis.

 

            Libatkan diri warga emas dengan aktiviti masyarakat terutama dengan golongan sebaya. Antara sebab warga emas menjadi sasaran penyamar adalah kerana penjenayah mengetahui warga emas tinggal bersendirian dan tidak ramai yang datang melawat. Oleh itu warga emas perlu menggalakkan raka-rakan dan keluarga untuk datang menziarahinya setiap hari. Warga emas perlu mengenali jiran-jiran supaya boleh melawat, memerhatikan dan mengambil berat tentang keadaan mereka.

 

            Warga emas perlu memastikan ahli keluarga mengetahui tahap kesihatannya, ubat-ubatan yang diperlukannya, jadual pengambilan ubat-ubatan tersebut dan dos yang ditetapkan. 

 

            Untuk mengurangkan risiko warga emas terjatuh akibat lemah anggota badan atau perjalanan darah yang tidak lancar, bersenam dan berkebunlah selalu. Ia dapat menggerakkan anggota badan bagi meningkatkan kekuatan, imbangan dan koordinasi badan.

 

            Periksa penglihatan warga emas setiap tahun dan ganti kanta kaca mata jika perlu. Pemeriksaan kesihatan secara teratur juga digalakkan bagi warga emas.

 

            Pertimbangkan penggunaan kalung atau gelang yang disertakan dengan maklumat kesihatan dan perubatan yang penting. Ia berguna jika warga emas jatuh sakit secara tiba-tiba dan tidak mampu bercakap atau koma.

 

 

Rumah

 

q  Pastikan tepi dan penjuru permaidani dan tikar getah tidak rosak dan tidak terangkat.

 

Jika perlu untuk mengelakkan ia rosak atau terangkat, anda boleh melekatkannnya ke lantai dengan gam atau tep pelekat. Tepi dan penjuru yang rosak dan terangkat boleh menyebabkan kaki warga emas tersadung dan terjatuh.

 

q  Pakukan atau tampalkan wayar telefon, kabel eletrik dan penyambung plug ke penjuru bilik supaya ia tidak mengganggu pergerakan warga emas.

 

Wayar yang berselirat dan bersepah boleh menyebabkan kaki warga emas tersangkut dan menyebabkan terjatuh.

 

q  Bersihkan dan besarkan laluan di bilik warga emas.

 

Letakkan perabot-perabot yang rendah di penjuru atau tepi dinding bilik supaya tidak mengganggu pergerakan warga emas.

 

q  Sediakan kerusi yang bersesuaian dengan ketinggian warga emas.

 

Jangan sediakan kerusi yang terlalu rendah kerana ia menyebabkan kesulitan untuk bangun daripada duduk kepada warga emas.

 

q  Jangan letakkan barang yang sering digunakan warga emas di rak yang tinggi.

 

Ia menyukarkan mereka kerana perlu memanjat untuk mencapainya dan ia boleh menyebabkan mereka terjatuh.

 

q  Pastikan ruang yang sering dilalui mereka diterangi lampu.

 

Pastikan ruang yang digunakan warga emas dilengkapi dengan lampu yang terang terutama di tangga, ruang tamu, dapur dan bilik air.

 

q  Pastikan lantai dan tangga tidak licin yang boleh menyebabkan warga emas tergelincir dan terjatuh.

 

q  Pastikan warga emas memakai kasut bertapak rata atau bertumit rendah.

 

Pastikan tapak kasut yang digunakan mereka tidak licin dan tidak mudah tergelincir.

Tiada ulasan: